TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Bukan wang Tabung Haji' - Peguam jawab dakwaan RM193.5 juta dikaitkan dengan keluarga Abdul Azeez

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 12 Sept – Dakwaan bahawa bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengambil, menggelapkan atau menyalahgunakan RM193.5 juta dana institusi itu untuk kegunaan dirinya atau ahli keluarga adalah tidak benar, menurut peguamnya.

Peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, pertuduhan yang dibacakan terhadap anak guamnya di Mahkamah Sesyen (Jenayah) 9 pada 8 September lalu hanya membabitkan dakwaan Abdul Azeez menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH untuk mendapatkan jawatan sebagai Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad.

Menurutnya, pertuduhan berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dakwaan penyelewengan atau penyalahgunaan dana TH bagi manfaat Abdul Azeez mahupun ahli keluarganya.

"Kami merujuk kepada beberapa laporan dan hantaran media sosial yang timbul susulan pertuduhan terhadap Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim termasuk desas-desus yang mengaitkan beliau dan ahli keluarganya dengan wang atau dana TH.

"Kami juga mengambil maklum beberapa hantaran yang sedang tersebar di media sosial berhubung jumlah simpanan yang dikatakan berada dalam akaun TH milik isteri dan anak-anak kepada anak guam kami.

"Dalam hal ini, adalah penting untuk ditegaskan wang yang berada dalam akaun-akaun itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dana atau wang milik TH dan kewujudan simpanan itu juga tidak bermaksud bahawa wang itu berasal daripada TH," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pada 9 September lalu, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan dalam bentuk jawatan pengerusi dan faedah di sebuah syarikat lain.

Beliau didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail, mencadangkan beliau sebagai wakil TH dalam lembaga pengarah Putrajaya Perdana.

Mengulas mengenai akaun dan wang simpanan berkenaan, Amer Hamzah berkata, perkara itu juga pernah menjadi subjek siasatan pihak berkuasa sebelum ini.

"Namun, wang simpanan dalam akaun-akaun itu tidak pernah dilucuthak oleh kerajaan dan tidak terdapat apa-apa dapatan wang itu adalah wang TH yang diselewengkan oleh anak guam kami atau hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Begitu juga Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung TH yang didedahkan tidak membuat apa-apa dapatan anak guam kami menyeleweng atau mengambil wang TH untuk dirinya atau ahli-ahli keluarganya," katanya.

Menurut Amer Hamzah, sebarang gambaran bahawa simpanan dalam akaun TH milik ahli keluarga Abdul Azeez merupakan wang yang diambil daripada institusi itu adalah tidak tepat serta tidak mencerminkan kandungan sebenar pertuduhan atau hasil siasatan terdahulu.

"Anak guam kami bertekad untuk membela diri di mahkamah dan membersihkan nama keluarganya. Kami menggesa semua pihak supaya melaporkan perkara ini berdasarkan fakta dan kandungan sebenar pertuduhan, serta menghormati prinsip anggapan tidak bersalah sehingga perkara ini diputuskan oleh mahkamah.

"Anak guam kami dan ahli-ahli keluarganya merizabkan segala haknya, termasuk hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan palsu, mengelirukan atau memfitnah berhubung perkara ini," katanya.

+ - reset