Berita Berita
'Nak ganti ‘guru’, tunjuk dulu keputusan peperiksaan' - Aiman Athirah sindir Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR 12 Sept - Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu menyifatkan sebahagian gagasan dalam Agenda Malaysia Biru yang dibentangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya sudah pun digerakkan menerusi pentadbiran Kerajaan MADANI.
Beliau berkata, persoalan yang perlu dinilai bukan siapa mempunyai agenda terbaik untuk masa depan negara, sebaliknya siapa yang sudah mula melaksanakannya.
Menurut Aiman Athirah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi sekadar bercakap mengenai hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara yang disegani, tetapi sudah membawa negara memainkan peranan lebih aktif di peringkat antarabangsa.
“Maka, persoalannya bukan, siapa yang mempunyai agenda? Tetapi siapa yang sudah mula melaksanakan agenda itu?
“Anwar sudah berjalan jauh,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas Agenda Malaysia Biru yang diketengahkan Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Agenda berkenaan menggariskan lapan gagasan utama iaitu Malaysia sebagai Negara Pencipta, Negara Berkemahiran, Negara Pemilik, Negara Sejahtera, Negara Berdaya Tahan, Negara Peduli, Negara Beramanah dan Negara Berdaulat.
Antara sasaran yang diketengahkan termasuk 80 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi, 60 peratus rakyat dewasa memiliki aset yang menjana nilai, 70 peratus tahap kemandirian dalam keperluan strategik serta meletakkan Malaysia dalam kelompok 20 negara terbaik dari segi integriti, tadbir urus dan kedaulatan undang-undang.
Mengulas gagasan itu, Aiman Athirah berkata, sesuatu visi politik tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan perancangan yang dibentangkan di atas kertas.
“Di atas kertas, semuanya indah.
“Tetapi politik bukan sekadar tentang siapa yang paling cantik melukis dan menulis masa depan.
“Politik adalah tentang siapa yang sudah mula membina masa depan itu pada hari ini. Dan di sinilah bezanya,” katanya.
Menurut beliau, ketika ada pihak menggariskan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara berdaulat dan kuasa pertengahan yang berpengaruh, Anwar didakwanya sudah membawa negara lebih jauh menerusi diplomasi strategik termasuk penglibatan aktif dalam BRICS serta hubungan dengan kuasa-kuasa besar dunia.
Beliau turut merujuk pertemuan Anwar dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di luar Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi yang menurutnya menghasilkan persetujuan untuk mewujudkan mekanisme khas bagi mempercepat pelaksanaan perjanjian Malaysia-Rusia.
“Itulah diplomasi yang bekerja. Bukan sekadar slogan kedaulatan,” katanya.
Dalam aspek ekonomi pula, Aiman Athirah berkata, pentadbiran MADANI mencatatkan RM426.7 bilion pelaburan diluluskan pada 2025 yang disifatkannya sebagai tertinggi dalam sejarah negara.
Menurutnya, jumlah itu meningkat 11 peratus berbanding 2024 dan dijangka mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan.
Beliau berkata, ekonomi Malaysia turut berkembang 5.2 peratus pada 2025, manakala defisit fiskal dikurangkan kepada 3.7 peratus, kadar pengangguran berada pada 2.9 peratus dan inflasi pada 1.4 peratus.
Katanya, momentum itu berterusan apabila ekonomi mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama 2026 sebelum meningkat kepada enam peratus pada suku kedua, menjadikan pertumbuhan bagi separuh pertama tahun ini sebanyak 5.7 peratus.
Aiman Athirah turut mempersoalkan gagasan perubahan daripada ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’ yang dibawa Ahmad Zahid dengan mendakwa transformasi ke arah ekonomi bernilai tinggi sebenarnya sudah digerakkan.
Menurutnya, usaha itu termasuk dalam bidang teknologi, kecerdasan buatan, pendigitalan dan rantaian bekalan strategik menerusi Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) serta reformasi industri negara.
Beliau berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut mengaitkan prestasi pelaburan pada 2025 dengan kerangka Ekonomi MADANI dan NIMP 2030, termasuk perkembangan kecerdasan buatan, pusat data, data raya, pengkomputeran awan serta peralihan kepada industri berteknologi tinggi.
Dalam pada itu, Aiman Athirah menyifatkan kritikan Ahmad Zahid terhadap kerajaan termasuk mengenai kos sara hidup, percukaian, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kepercayaan terhadap institusi dan tadbir urus sebagai sesuatu yang canggung kerana Presiden UMNO itu masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Nada tersebut sebetulnya lebih sinonim dengan nada pembangkang.
“Apa-apa pun, saya kira seeloknya jangan sampai kritikan politik menyebabkan kita melupakan neraca fakta,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan telah mengambil beberapa pendekatan bagi menangani kos sara hidup termasuk subsidi bersasar, Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI.
Pada masa sama, katanya, prestasi pelaburan pada 2025 mencatatkan rekod tertinggi, pertumbuhan ekonomi bagi suku kedua 2026 berada pada enam peratus manakala defisit fiskal dikurangkan kepada 3.7 peratus pada tahun lalu.
Menurut Aiman Athirah, lapan gagasan Agenda Malaysia Biru juga boleh dibandingkan dengan beberapa dasar dan program yang sudah dilaksanakan kerajaan ketika ini.
Antaranya pembangunan ekonomi digital, kecerdasan buatan dan industri bernilai tinggi, selain Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan modal insan, pemilikan aset, perumahan serta pengupayaan Bumiputera.
Beliau turut menyenaraikan STR, SARA, subsidi bersasar dan reformasi fiskal selain keterjaminan makanan, tenaga, kesihatan, digital dan rantaian bekalan sebagai antara perkara yang sedang diberikan perhatian kerajaan.
Dalam aspek tadbir urus pula, katanya, reformasi institusi, disiplin fiskal dan usaha memperkukuhkan integriti sedang dilaksanakan termasuk tindakan memerangi rasuah.
Aiman Athirah berkata, perbezaan pandangan politik dan kritikan terhadap kerajaan adalah perkara biasa, namun ia tidak seharusnya menyebabkan pencapaian atau dasar yang sudah dilaksanakan diketepikan.
“Kita boleh berbeza pandangan politik. Boleh memilih untuk bekerjasama dengan sesiapapun. Boleh mengkritik kerajaan, tetapi jangan fitnah.
“Tetapi kita jangan menulis atau bercakap tentang negara ini seolah-olah Malaysia baru belajar tentang reformasi, transformasi, tatakelola, ekonomi bernilai tinggi, TVET, pemilikan aset, perlindungan sosial dan diplomasi strategik.
“Sebahagian daripada perkara yang disebut sebagai ‘agenda masa depan’ itu sebenarnya sudahpun menjadi dasar dan kerja keras Kerajaan MADANI pada hari ini,” katanya.
Beliau turut menggunakan analogi ‘guru dan silibus’ bagi menggambarkan perbezaan antara apa yang sedang dilakukan kerajaan dengan agenda baharu yang diketengahkan.
“Semalam mereka mengkritik guru yang sedang mengajar. Hari ini mereka datang membawa silibus baharu.
“Tidak salah. Namun, rakyat berhak bertanya: Jika mahu menggantikan guru, tunjukkan dahulu keputusan peperiksaan,” katanya.
Menurut Aiman Athirah, memimpin negara bukan sekadar pertandingan menyusun gagasan atau kata-kata, sebaliknya memerlukan keberanian membuat keputusan, melaksanakan reformasi dan menterjemahkan visi kepada hasil.
“Hari ini, ketika Malaysia berdiri berunding dengan kuasa-kuasa besar dunia, menarik pelaburan pada angka tertinggi dalam sejarah, mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan pada masa yang sama melaksanakan konsolidasi fiskal, kita sedang menyaksikan seorang pemimpin yang bukan hanya bercakap tentang masa depan Malaysia.
“Anwar Ibrahim sedang membawa Malaysia menuju masa depan itu,” katanya.
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menegaskan bahawa Malaysia sudah bergerak jauh di bawah kepimpinan Anwar dan perkara itu tidak seharusnya dinafikan hanya kerana persaingan politik.
“Anwar sudah berjalan jauh. Malaysia sudah bergerak jauh.
“Jangan kerana mahu kembali berkuasa, kita pura-pura lupa sejauh mana negara ini telah melangkah,” katanya.
Berita berkaitan
September 12, 2026, 9:02 pm
UMNO cabar kerajaan keluarkan BN, sedia hadap undi tak percaya
September 12, 2026, 8:16 pm
'InsyaAllah, 2027 UMNO-BN berkuasa semula’ – Zahid
September 12, 2026, 4:23 pm
Gempa 6.5 gegar Jakarta, rakyat Malaysia dinasihat kekal tenang
September 12, 2026, 3:43 pm
'Bukan wang Tabung Haji' - Peguam jawab dakwaan RM193.5 juta dikaitkan dengan keluarga Abdul Azeez
September 12, 2026, 12:46 pm
Lelaki ditahan disyaki bunuh ibu kandung, mayat ditemukan dengan kesan senjata tajam
September 11, 2026, 10:39 pm
'Alhamdullilah 'Guru' dah selamat tiba di New Delhi, bawa nama Malaysia ke Sidang Kemuncak BRICS Ke-18' - Anwar
September 11, 2026, 5:32 pm
