TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gempa 6.5 gegar Jakarta, rakyat Malaysia dinasihat kekal tenang

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Sept – Rakyat Malaysia di Jakarta diminta kekal tenang dan sentiasa mengikuti maklumat rasmi pihak berkuasa selepas gempa bumi bermagnitud 6.5 menggegarkan Indonesia awal pagi Sabtu.

Gegaran itu turut dirasai di Jakarta serta beberapa kawasan di Jawa dan Sumatera, namun setakat tengah hari tiada kemalangan atau kerosakan dilaporkan.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memaklumkan, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Republik Indonesia merekodkan gempa berkenaan pada jam 4.23 pagi waktu tempatan.

Menurutnya, pusat gempa dikesan kira-kira enam kilometer di timur Kepulauan Seribu.

"Gegaran tersebut berlaku pada kedalaman 376 kilometer dan tiada ancaman tsunami.

"Setakat jam 12 tengah hari, belum ada laporan kemalangan atau kerosakan akibat gempa bumi berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Susulan kejadian itu, rakyat Malaysia yang berada di Jakarta dinasihatkan supaya tidak panik dan terus mengikuti perkembangan serta arahan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan.

Dalam pada itu, kedutaan turut mengingatkan rakyat Malaysia yang merancang perjalanan ke luar negara supaya membuat persediaan sewajarnya sebelum berlepas.

"Perkara itu termasuk menyediakan dana tambahan untuk keperluan diri, selain mendapatkan insurans sebelum berlepas dan meneliti skop perlindungannya," menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi talian tetap +62 21 522 4947 atau aplikasi WhatsApp di +62 813 8081 3036.

+ - reset