Berita Berita
'Kerajaan ini bukan kerajaan satu parti' - Asyraf Wajdi dedah UMNO mahu kekal nama ‘Kerajaan Perpaduan’, bukan ‘Kerajaan Madani’
KUALA LUMPUR 12 Sept – UMNO menegaskan pentadbiran negara perlu terus dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia, selaras dengan perjanjian asal yang dimeterai ketika pembentukan kerajaan melibatkan 18 parti.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu tidak mempunyai masalah dengan penggunaan gagasan Malaysia Madani sebagai wawasan atau ‘war cry’ pentadbiran.
Bagaimanapun, menurutnya, penggunaan istilah ‘Kerajaan Madani’ bagi merujuk kepada pentadbiran ketika ini dilihat tidak menepati kesepakatan yang dipersetujui sejak awal.
Beliau berkata, Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan yang mengandungi 18 perkara dengan jelas menetapkan nama kerajaan berkenaan sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia.
“Daripada awal lagi disebutkan supaya kita harus menghormati perkara yang termaktub dalam perjanjian.
“Kerajaan ini bukan kerajaan satu parti. Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah (sebagai Perdana Menteri), sebuah perjanjian melibatkan 18 parti dimaktubkan dan dinamakan Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya pada sidang akbar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, status pentadbiran yang dibentuk menerusi gabungan pelbagai parti turut menuntut pendekatan berbeza berbanding kerajaan terdahulu.
Justeru, katanya, Perdana Menteri perlu memastikan proses rundingan dan konsultasi terus dilaksanakan bersama semua parti yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
“Ini bukan seperti kerajaan sebelum-sebelum ini yang mempunyai majoriti mutlak 112 (kerusi Parlimen) boleh dikatakan Perdana Menterinya merujuk kepada kerajaan yang dibentuk oleh satu parti.
“Tetapi apabila kerajaan itu adalah Kerajaan Perpaduan, kerajaan yang bersatu, maka konsultasi mesti dibuat untuk semua ahli-ahli parti tersebut,” tambahnya lagi.
Berita berkaitan
September 12, 2026, 9:02 pm
UMNO cabar kerajaan keluarkan BN, sedia hadap undi tak percaya
September 12, 2026, 8:16 pm
'InsyaAllah, 2027 UMNO-BN berkuasa semula’ – Zahid
September 12, 2026, 4:30 pm
'Nak ganti ‘guru’, tunjuk dulu keputusan peperiksaan' - Aiman Athirah sindir Zahid Hamidi
September 12, 2026, 4:23 pm
Gempa 6.5 gegar Jakarta, rakyat Malaysia dinasihat kekal tenang
September 12, 2026, 3:43 pm
'Bukan wang Tabung Haji' - Peguam jawab dakwaan RM193.5 juta dikaitkan dengan keluarga Abdul Azeez
September 12, 2026, 12:46 pm
Lelaki ditahan disyaki bunuh ibu kandung, mayat ditemukan dengan kesan senjata tajam
September 11, 2026, 10:39 pm
'Alhamdullilah 'Guru' dah selamat tiba di New Delhi, bawa nama Malaysia ke Sidang Kemuncak BRICS Ke-18' - Anwar
September 11, 2026, 5:32 pm
