Berita Berita
UMNO cabar kerajaan keluarkan BN, sedia hadap undi tak percaya
KUALA LUMPUR 12 Sept - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar Kerajaan Perpaduan supaya mengeluarkan Barisan Nasional (BN) secara rasmi daripada pentadbiran sekiranya gabungan itu benar-benar dianggap tidak lagi diperlukan.
Beliau berkata, tindakan itu perlu dilakukan secara terbuka mengikut proses demokrasi, termasuk membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat atau mendapatkan mandat baharu rakyat menerusi Pilihan Raya Umum (PRU).
Menurut Ahmad Zahid, kedudukan BN tidak boleh diketepikan begitu sahaja kerana gabungan itu merupakan sebahagian daripada asas pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, kerajaan ketika itu dibentuk berasaskan sokongan 112 kerusi Parlimen dengan Pakatan Harapan (PH) memiliki 82 kerusi manakala BN menyumbang 30 kerusi.
“Walaupun jumlah kerusi bersama Kerajaan Perpaduan sekarang melebihi majoriti mudah, tetapi ia adalah tambahan kepada asas yang ada kerana parti yang menyertai sekarang ini pelbagai, iaitu 18 parti.
“Jangan lupa, daripada 112 yang mereka ada asalnya, tiga sudah keluar daripada PKR iaitu (Datuk Seri) Rafizi (Pandan), Nik Nazmi (Setiawangsa) dan Wong Chen (Subang),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Sabtu.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya UMNO-BN diminta meninggalkan Kerajaan Perpaduan, asas 112 kerusi yang menjadi sandaran awal pembentukan kerajaan juga tidak lagi boleh dianggap kekal.
Justeru, beliau berpandangan mandat baharu daripada rakyat perlu diperoleh sekiranya berlaku perubahan terhadap komposisi kerajaan sedia ada.
“Kalau kita diminta keluar, logiknya asas 112 kerusi pun sudah tiada. Jadi wajarnya mandat baharu mesti diperoleh.
“Pilihan cuma ada dua. Satu, dapatkan semula mandat baharu dengan mengadakan pilihan raya umum. Kedua, keluarkan kami secara rasmi dan buat undi tidak percaya di Dewan Rakyat,” tambahnya lagi.
Berita berkaitan
September 12, 2026, 8:16 pm
'InsyaAllah, 2027 UMNO-BN berkuasa semula’ – Zahid
September 12, 2026, 4:30 pm
'Nak ganti ‘guru’, tunjuk dulu keputusan peperiksaan' - Aiman Athirah sindir Zahid Hamidi
September 12, 2026, 4:23 pm
Gempa 6.5 gegar Jakarta, rakyat Malaysia dinasihat kekal tenang
September 12, 2026, 3:43 pm
'Bukan wang Tabung Haji' - Peguam jawab dakwaan RM193.5 juta dikaitkan dengan keluarga Abdul Azeez
September 12, 2026, 12:46 pm
Lelaki ditahan disyaki bunuh ibu kandung, mayat ditemukan dengan kesan senjata tajam
September 11, 2026, 10:39 pm
'Alhamdullilah 'Guru' dah selamat tiba di New Delhi, bawa nama Malaysia ke Sidang Kemuncak BRICS Ke-18' - Anwar
September 11, 2026, 5:32 pm
