TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'InsyaAllah, 2027 UMNO-BN berkuasa semula’ – Zahid

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 12 Sept - UMNO dan Barisan Nasional (BN) diyakini mampu kembali menerajui kerajaan pada 2027 selepas parti itu melalui pelbagai episod kekalahan, perselisihan serta krisis politik sejak hampir dua dekad lalu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata keyakinan itu bersandarkan keupayaan parti berkenaan untuk bangkit dan menyusun semula kekuatan setiap kali berdepan ujian.

Malah, beliau percaya Dewan Merdeka yang menjadi lokasi berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bakal sekali lagi menjadi saksi kepada kebangkitan UMNO dan BN.

“Pada tahun 2008 kita kehilangan dua pertiga majoriti. Pada tahun 2018 kita hilang kerajaan. Pada tahun 2026 atau 2027, awal atau pertengahan atau akhir, insya-Allah dewan ini akan menyaksikan UMNO dan BN berkuasa semula.

"Alhamdulillah, Dewan Merdeka ini pernah melihat kemenangan dan kekalahan, itu hakikatnya. Dewan ini juga telah menyaksikan perselisihan dan penyatuan.

"Tetapi Dewan Merdeka ini bukan tempat untuk kita orang-orang UMNO meratapi nasib. Setiap kali kita diuji, di sinilah juga tempatnya kita menyusun semula kekuatan dan melakar masa depan kita sendiri," katanya ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada PAU 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata setiap ujian yang dilalui perlu dijadikan peluang untuk memperkukuh UMNO, selain menentukan hala tuju perjuangan parti itu bagi menghadapi cabaran politik akan datang.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi BN itu menjangkakan PAU 2026 merupakan perhimpunan agung terakhir parti berkenaan sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Seiring persediaan menghadapi pilihan raya itu, beliau turut mengumumkan ‘TEKAD 16’ sebagai usaha memperkasakan parti, mengeratkan saf dan menguasai medan.

“Dan insya-Allah, PAU 2026 kali ini merupakan PAU yang terakhir sebelum PRU yang ke-16. Mari bangun untuk memberikan semangat kepada perwakilan serta ahli dan kepimpinan akar umbi di luar sana.

“Jadi ini terakhir, di hari akhir ini mari kita sama bersetuju mewujudkan 'TEKAD 16'," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, ‘TEKAD 16’ membawa lima pendekatan utama iaitu Teguhkan parti; Eratkan saf; Kuasai medan; Anjakkan strategi; serta Dekati rakyat.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan Agenda Malaysia Biru yang diketengahkan UMNO tidak boleh sekadar kekal sebagai sebuah gagasan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada dasar dan tindakan yang mampu menghasilkan manfaat kepada rakyat.

Katanya, lapan agenda yang digariskan menerusi gagasan itu akan diperincikan dalam sesi pemprofilan dan pemukiman di Melaka.

Langkah berkenaan bertujuan menghasilkan satu pelan tindakan atau blueprint yang lebih komprehensif dan praktikal, selain mengandungi saranan jelas untuk diterjemahkan kepada pelaksanaan.

+ - reset