Berita Berita
‘Sebagai seorang anak, saya mohon maaf’ – Nurulhidayah tampil selepas gurauan 'kasar' Zahid Hamidi, mohon jangan pandang rendah jentera wanita
KUALA LUMPUR 13 Sept – “Sebagai seorang anak, saya mohon maaf.”
Demikian reaksi Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid susulan gurauan bapanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Ucapan Penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), semalam, yang menimbulkan rasa terkilan dalam kalangan sesetengah perwakilan parti.
Nurulhidayah yang juga Exco Wanita UMNO tampil memohon maaf atas keterlanjuran kata-kata atau gurauan bapanya, khususnya sekiranya ia mengguris perasaan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Pada masa sama, beliau secara peribadi percaya Ahmad Zahid hanya berniat untuk bergurau dan tidak mempunyai niat merendahkan Noraini atau mana-mana pihak.
“Secara peribadi, saya percaya dan amat yakin, YAB Presiden UMNO mungkin berniat untuk bergurau (overwhelmed) dan tidak bermaksud merendahkan sesiapa tetapi kadang-kadang gurauan yang terlepas boleh memberi kesan yang berbeza kepada orang yang mendengarnya,” katanya, hari ini.
Penjelasan itu dibuat susulan rasa terkilan sesetengah perwakilan parti terhadap gurauan Ahmad Zahid terhadap Noraini ketika ucapan penggulungan berkenaan.
Nurulhidayah berkata, beliau turut bersetuju bahawa soal fizikal atau usia seseorang tidak sepatutnya dijadikan bahan gurauan, terutama apabila ia boleh mengguris hati anggota Wanita UMNO.
Dalam hantaran sama, Nurulhidayah turut memuat naik gambarnya bersama Noraini yang mesra disapa Kak Ani, selain mengingatkan supaya peranan dan sumbangan jentera Wanita UMNO tidak sesekali dipandang kecil.
“Satu perkara yang saya juga sangat setuju dengan luahan dalam kalangan Wanita UMNO adalah, jangan sesekali pandang kecil pada ‘jentera nenek-nenek’ ini.
“Perkataan nenek mungkin agak sensitif kerana ia melambangkan tidak berdaya lagi untuk berkhidmat atau memimpin. Kalau atuk-atuk masih boleh memimpin, kenapa tidak nenek-nenek?
“Mereka inilah antara tulang belakang UMNO yang paling setia, yang turun ketika susah dan senang, yang bekerja tanpa banyak meminta.
“Jika ada yang terasa hati, terutamanya Kak Ani (Noraini) sendiri secara peribadi, dengan rasa rendah diri dan terbuka, sebagai seorang anak, saya mohon maaf atas keterlanjuran kata-kata / gurauan beliau di atas pentas PAU semalam.
“Saya sendiri ambil yang baik daripada teguran ini dan berjanji akan terus jaga hati sesama kita,” katanya lagi.
Berita berkaitan
September 14, 2026, 12:59 pm
Abdul Aziz Abdul Majid dilantik Timbalan Ketua Polis Negara baharu
September 14, 2026, 12:54 pm
JPA kaji inisiatif tambah baik pendapatan penjawat awam
September 14, 2026, 12:49 pm
Kru operasi AirAsia dan AirAsia X sah bebas dadah selepas saringan berkala
September 14, 2026, 12:42 pm
Polis sahkan ancaman bom di Mid Valley Southkey palsu
September 14, 2026, 12:12 pm
‘Kenapa Zahid tidak berani?’ – Guan Eng cabar UMNO keluar kerajaan Pulau Pinang
September 14, 2026, 11:38 am
Isu tadbir urus: FGV lantik juruaudit bebas, anak syarikat FELDA turut diperiksa
September 14, 2026, 9:45 am
Jamil Khir hadap tiga pertuduhan babit pelupusan aset TH lebih RM860 juta
September 14, 2026, 9:12 am
Jabatan Perikanan siasat dakwaan penemuan piranha 'Amazon' di Empangan Klau
September 13, 2026, 10:04 pm
