Berita Berita
Isu tadbir urus: FGV lantik juruaudit bebas, anak syarikat FELDA turut diperiksa
KUALA LUMPUR 14 Sept - FGV Holdings Berhad (FGV) melantik sebuah firma audit bebas bagi menjalankan audit forensik terhadap perkara khusus membabitkan sebuah entiti yang mempunyai hubungan korporat dengan kumpulan berkenaan.
Langkah sama turut diperluaskan dalam Kumpulan FELDA apabila proses pelantikan firma audit bebas sedang giat dilaksanakan bagi menjalankan penelitian terhadap beberapa anak syarikat lain.
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan itu dilaksanakan selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jawatankuasa Khas Hala Tuju FELDA 2030.
“Langkah ini dirangka khusus untuk menambah baik tahap tadbir urus Kumpulan FELDA demi kelestarian agensi tersebut,” katanya.
Menurut FELDA, pihaknya akan terus meneliti keperluan untuk melantik firma audit bebas bagi melaksanakan pengauditan forensik secara profesional dan menyeluruh terhadap FELDA serta semua organisasi di bawah kumpulan itu.
Inisiatif pengauditan forensik terhadap FELDA bukan perkara baharu apabila langkah berkenaan sudah dilaksanakan sejak 2019.
FELDA sebelum ini melantik Tetuan Ernst & Young (EY) untuk menjalankan audit dengan dapatan laporan berkenaan kemudiannya dibentangkan di Parlimen menerusi Kertas Putih FELDA pada 2020.
Menurut FELDA, pelaksanaan audit terbaharu itu mencerminkan komitmen berterusan pengurusan Kumpulan FELDA dalam memperkukuh aspek tadbir urus, akauntabiliti, ketelusan dan pematuhan di semua peringkat operasi.
“FELDA kekal tegas dengan pendiriannya untuk memastikan kepentingan organisasi serta kesejahteraan peneroka sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya.
Terdahulu, SPRM pada 2 September lalu dilaporkan membuka enam kertas siasatan baharu berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Siasatan menerusi Ops Fella itu dibuat susulan maklumat diterima SPRM pada 24 Ogos lalu berkaitan pelaksanaan projek dan pelaburan oleh pengurusan FELDA serta FIC antara 2010 hingga 2020.
Antara enam perkara yang menjadi fokus siasatan ialah dakwaan penyelewengan dalam pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Berita berkaitan
September 14, 2026, 12:59 pm
Abdul Aziz Abdul Majid dilantik Timbalan Ketua Polis Negara baharu
September 14, 2026, 12:54 pm
JPA kaji inisiatif tambah baik pendapatan penjawat awam
September 14, 2026, 12:49 pm
Kru operasi AirAsia dan AirAsia X sah bebas dadah selepas saringan berkala
September 14, 2026, 12:42 pm
Polis sahkan ancaman bom di Mid Valley Southkey palsu
September 14, 2026, 12:12 pm
‘Kenapa Zahid tidak berani?’ – Guan Eng cabar UMNO keluar kerajaan Pulau Pinang
September 14, 2026, 9:45 am
Jamil Khir hadap tiga pertuduhan babit pelupusan aset TH lebih RM860 juta
September 14, 2026, 9:12 am
Jabatan Perikanan siasat dakwaan penemuan piranha 'Amazon' di Empangan Klau
September 13, 2026, 10:04 pm
