TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemilik kolam, pelajar 'intern' maut disyaki terkena renjatan elektrik di Besut

By
|
Kongsi
image

 

BESUT 13 Sept - Seorang pemilik kolam ternakan ikan dan penuntut yang menjalani latihan industri ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Pantai Air Tawar di sini, hari ini.

Kedua-dua mangsa, Wan Adilah Wan Awang, 49, dan Rubayyi Razak, 27, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kolam ternakan ikan berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.40 tengah hari.

"Pegawai perubatan yang hadir ke lokasi mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, Wan Adilah merupakan pemilik kolam berkenaan manakala Rubayyi adalah penuntut yang sedang menjalani latihan industri.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Besut untuk proses bedah siasat.

Terdahulu, pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut hadir ke lokasi bagi membantu menjalankan pemeriksaan berkaitan sistem bekalan elektrik di kawasan kejadian.

Mohd Rozaime berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian itu. Siasatan lanjut masih berjalan," katanya.

+ - reset