Berita Berita
Salah urus gaji, naik pangkat jangan sampai penjawat awam jadi mangsa – KPPA tegur pengurusan sumber manusia
PUTRAJAYA 14 Sept – Kesilapan dalam urusan pelantikan, kenaikan pangkat sehingga pelarasan gaji penjawat awam tidak boleh terus berulang sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian akibat kelemahan pengurusan sumber manusia.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menegaskan, kesilapan membabitkan pelantikan, pemangkuan, kenaikan pangkat, pelarasan gaji, tatatertib serta pengurusan prestasi perlu dihentikan dan ditangani secara menyeluruh.
Menurutnya, ukuran paling asas terhadap kualiti sesebuah sistem adalah sama ada kesilapan sama terus berulang atau sebaliknya.
“Jika ia berulang, itu menandakan puncanya belum ditangani. Kes yang kelihatan kecil pada peringkat proses berupaya memberi impak yang besar kepada pegawai, juga kredibiliti organisasi.
“Kesilapan berulang bukan lagi kes terpencil, sebaliknya ia menandakan kelemahan sistemik,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam Tahun 2026 di sini, hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata, pencapaian Malaysia dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 yang melonjak menjadi penanda aras baharu terhadap jangkaan dan harapan rakyat kepada perkhidmatan awam.
“Oleh itu, di sinilah letaknya peranan kritikal pengurus sumber manusia, yakni menyokong Teras Keberhasilan Reformasi, terutamanya dalam pembangunan organisasi, modal insan dan penyampaian perkhidmatan.
“Keberhasilan reformasi tidak ditentukan oleh kecanggihan sistem semata-mata namun ia juga bersandar kepada kualiti manusia yang melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata, usaha reformasi dan transformasi turut menuntut keberanian penjawat awam untuk meninggalkan kebiasaan lama yang lapuk serta beralih kepada amalan baharu yang lebih relevan bagi mewujudkan penstrukturan semula berimpak tinggi.
“Transformasi adalah sebuah proses yang berterusan manakala reformasi adalah perubahan radikal yang hanya akan menjadi realiti apabila kita berani membuat keputusan yang betul dengan lebih pantas dan menangani masalah hingga ke akar umbi.
“Justeru, memacu prestasi bermakna meningkatkan mutu kerja manakala merealisasikan reformasi bermakna memastikan perubahan itu benar-benar memberi impak.
“Anjakan besar ini mesti dizahirkan secara tuntas melalui pengurusan sumber manusia yang dinamik,” katanya.
Dalam sidang media berasingan, Wan Ahmad Dahlan berkata, isu berkaitan pengurusan sumber manusia mempunyai dimensi yang luas kerana melibatkan pentadbiran di peringkat Persekutuan, negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Jadi, kita ingin menjaga penjawat awam agar tidak ada kerugian yang berlaku (kepada penjawat awam) akibat daripada kesilapan pengurusan manusia,” katanya.
Pada persidangan sama, Wan Ahmad Dahlan turut melancarkan buku Institusi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Alaf Baharu yang mendokumentasikan perkembangan, peranan serta sumbangan Institusi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
Buku berkenaan merangkumi strategi, pembaharuan dan inisiatif KPPA dari 2000 hingga 2025 dalam membentuk perkhidmatan awam Malaysia alaf baharu.
Persidangan bertemakan “Memacu Prestasi, Merealisasi Reformasi” itu dihadiri lebih 1,000 penggerak utama sumber manusia daripada kementerian, jabatan, agensi setiausaha kerajaan negeri, badan berkanun dan PBT.
Berita berkaitan
September 14, 2026, 2:09 pm
Skizofrenia serius ketika kejadian, pelajar dibebaskan pertuduhan bunuh rakan sekolah dalam tandas perempuan
September 14, 2026, 1:27 pm
'Dia sangat teruja! Dia tahu itu awak', isteri Kapten Zainol tahu anak kuat
September 14, 2026, 1:22 pm
ATM sedia atur gerak aset udara bantu operasi Perkhidmatan Doktor Udara KKM
September 14, 2026, 1:15 pm
Guan Eng cabar Ahmad Zahid syorkan cadangan singkir UMNO daripada Kerajaan Pulau Pinang
September 14, 2026, 12:59 pm
Abdul Aziz Abdul Majid dilantik Timbalan Ketua Polis Negara baharu
September 14, 2026, 12:54 pm
JPA kaji inisiatif tambah baik pendapatan penjawat awam
September 14, 2026, 12:49 pm
Kru operasi AirAsia dan AirAsia X sah bebas dadah selepas saringan berkala
September 14, 2026, 12:42 pm
Polis sahkan ancaman bom di Mid Valley Southkey palsu
September 14, 2026, 12:12 pm
