TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Tindakan pempengaruh dedah PATI buat warga asing gelisah, mula buat kempen kecam di media sosial

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 SEPTEMBER - Tindakan berani beberapa pempengaruh merakam dan mendedahkan kewujudan pendatang asing tanpa izin (PATI) di platform media sosial nampaknya mula menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan warga asing di negara ini.

Terbaharu, tular beberapa perkongsian dan amaran yang dimuat naik oleh individu dipercayai warga asing yang meluahkan rasa tidak puas hati serta mendesak agar tindakan diambil terhadap pempengaruh tempatan. 

Antara yang menjadi sasaran kecaman termasuklah pempengaruh, Awie Mbr, yang lantang menyuarakan isu kehadiran warga asing dan pemantauan di kawasan tumpuan mereka.

Menerusi satu hantaran tular di media sosial, terdapat warga asing yang melemparkan tuduhan bahawa pempengaruh berkenaan bertindak seolah-olah seperti pegawa imigresen yang tidak bertauliah. 

Mereka mendakwa tindakan menyemak dokumen seperti pasport, visa dan kad UNHCR serta merakam wajah warga asing secara terbuka sebagai satu bentuk gertakan dan gangguan.

Bukan itu sahaja, wujud juga video tular memaparkan seorang lelaki warga asing menyampaikan peringatan dalam bahasa ibundanya kepada komuniti mereka. 

Lelaki berkenaan menggesa rakan segolongannya supaya sentiasa berwaspada dan menjauhi pempengaruh kerana tindakan merakam gambar atau video boleh menyebabkan lokasi mereka terdedah kepada pihak imigresen seterusnya membawa kepada operasi penangkapan.

Gelombang penentangan dan kecaman daripada pihak warga asing itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat tempatan. 

Majoriti netizen Malaysia menyokong penuh usaha para pempengaruh yang disifatkan membantu menyalurkan maklumat awal kepada pihak berkuasa bagi membanteras lambakan PATI dan warga asing yang semakin berani menguasai kawasan awam serta ekonomi setempat.

+ - reset