TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Persenda rukun negara, netizen minta pihak berwajib siasat persembahan teater

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 SEPTEMBER  – Sebuah rakaman video yang menunjukkan sekumpulan pelakon teater didakwa mempersendakan prinsip Rukun Negara telah mencetuskan kemarahan warganet di platform media sosial.

Video singkat yang tular itu memaparkan barisan pelakon melafazkan setiap lima prinsip Rukun Negara, namun diselitkan dengan sindiran serta kenyataan yang didakwa tidak menghormati tiang seri negara itu.

Berdasarkan paparan klip berkenaan, para pelakon dilihat mengangkat tangan seperti membaca ikrar Rukun Negara, tetapi setiap klausa diikuti dengan celoteh dan olahan perkataan yang dianggap memperlekehkan identiti serta institusi negara.

Tindakan mereka yang berseloroh semasa melafazkan ikrar kebangsaan tersebut dinilai sebagai satu perbuatan biadap dan melampaui batas.

Tindakan tersebut telah membangkitkan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen yang menganggap identiti dan ideologi kebangsaan tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka atau sindiran politik dalam persembahan seni. 

Rata-rata penguna media sosial mendesak pihak berwajib seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Komunikasi, serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjalankan siasatan segera terhadap penganjur dan pelakon yang terlibat.

Netizen turut menyeru agar tindakan tegas diambil bagi memastikan insiden sedemikian tidak berulang, di samping memelihara keharmonian masyarakat serta menghormati prinsip asas pembentukan negara Malaysia. 

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa mahupun kumpulan teater berkenaan berhubung isu yang sedang hangat diperkatakan itu.

+ - reset