TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kor Ming nak letak jawatan juga sebenarnya tapi Loke pujuk supaya kekal

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 20 Sept - Mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Sabtu dilaporkan hampir menyaksikan keputusan peletakan jawatan secara beramai-ramai apabila beberapa pemimpin parti itu menyatakan hasrat untuk berundur daripada Kabinet.

Memetik laporan Oriental Daily, sumber yang menghadiri mesyuarat berkenaan mendakwa Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming antara pemimpin yang mahu mengambil pendirian sama seperti Setiausaha Agung parti, Anthony Loke.

Selain Kor Ming, Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo juga dilaporkan berhasrat melepaskan jawatan sehingga perbincangan ketika itu menemui jalan buntu.

“Idea meletak jawatan beramai-ramai sememangnya timbul dalam mesyuarat tergempar CEC DAP.

“Pemimpin lain termasuk Kor Ming yang kini menjadi tumpuan ramai, pada ketika itu ingin mengambil pendirian sama seperti Anthony.

“Sebenarnya mesyuarat menemui jalan buntu. Kor Ming ketika itu juga mencadangkan supaya mereka meletak jawatan bersama-sama.

“Katanya tak masuk akal kalau Setiausaha Agung sahaja letak jawatan, bagaimana pula dengan yang lain? Pada awalnya, hampir kesemua ahli CEC DAP berpendapat kalau nak letak jawatan, biarlah bersama. Kalau nak kekal pun biarlah semuanya kekal,” katanya.

Bagaimanapun, sumber berkenaan berkata, Anthony tetap mempertahankan pendiriannya meskipun berdepan pandangan berbeza daripada pemimpin lain dalam mesyuarat tersebut.

Anthony kemudian dilaporkan menjelaskan mengapa beliau perlu melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, manakala pemimpin DAP lain perlu terus berada dalam kerajaan.

Penjelasan itu akhirnya diterima sebulat suara oleh ahli mesyuarat.

“Kalau Anthony letak jawatan kemudian Kor Ming dan Gobind Singh pula ikut, selepas itu Hannah Yeoh juga, ia sudah jadi peletakan jawatan beramai-ramai,” katanya.

Menurut sumber itu, DAP ketika membuat keputusan berkenaan perlu mencari keseimbangan antara tanggungjawab moral dalam politik dengan risiko yang mungkin timbul sekiranya lebih ramai pemimpinnya meninggalkan kerajaan.

“Bukannya kami (DAP) tidak mempertimbangkan implikasi jika keluar sepenuhnya daripada kerajaan.

“Tetapi, kami berpandangan keadaan sekarang bukan masanya untuk mendorong peletakan jawatan beramai-ramai atau pembubaran Parlimen.

“Selepas peletakan jawatan secara menyeluruh, masih terdapat banyak kemungkinan lain yang boleh berlaku,” jelasnya.

Sumber itu berkata, keputusan akhirnya dibuat supaya Anthony meletakkan jawatan bagi menyatakan pendirian parti, manakala pemimpin DAP lain terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik bertunjangkan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, keputusan itu dibuat meskipun Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berdepan desakan daripada beberapa pemimpin Melayu supaya turut melepaskan jawatannya.

“Walaupun Kor Ming yang merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berdepan desakan daripada beberapa pemimpin Melayu supaya turut meletak jawatan.

“Anthony akhirnya berjaya meyakinkan semua pihak bahawa jika seseorang perlu tampil mewakili pendirian parti, individu tersebut mestilah pemimpin tertinggi parti iaitu beliau sendiri selaku Setiausaha Agung DAP.

“Memang Anthony menunjukkan keberanian dengan meletak jawatan, tetapi Kor Ming juga memerlukan keberanian politik yang lebih besar untuk menempuh tekanan dan serangan selepas ini,” katanya.

 

+ - reset