TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu pengampunan Najib tak wajar lemahkan PH, Anthony Loke tak perlu undur - Aiman Athirah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 22 Sept – Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berpandangan tawaran peletakan jawatan Anthony Loke wajar ditolak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana keputusan pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Razak bukan berada dalam bidang kuasa mutlak kerajaan.

Beliau berkata, isu berkenaan juga tidak seharusnya dijadikan senjata politik sehingga melemahkan Anwar dan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya semua pihak perlu memahami proses pengampunan berdasarkan fakta dan kerangka Perlembagaan.

“Tiada siapa yang patut berundur atau mengambil tanggungjawab untuk berundur kerana perkara ini berlaku.

“Maka, terdapat kewajaran yang tinggi agar tawaran peletakan jawatan saudara Anthony Loke dipertimbangkan untuk ditolak oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aiman Athirah berkata, perkembangan berkaitan pengampunan bersyarat dan tahanan rumah Najib perlu dilihat dengan tenang tanpa menjadikannya bahan untuk membakar emosi rakyat, khususnya penyokong PH.

Menurutnya, keputusan berkenaan tidak seharusnya digambarkan sebagai keputusan peribadi Perdana Menteri atau Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, petisyen pengampunan Najib telah dikemukakan sendiri oleh bekas Perdana Menteri itu menerusi peguamnya pada 2 September 2022, kira-kira seminggu selepas mula menjalani hukuman penjara bagi kes SRC International pada 23 Ogos tahun sama.

Petisyen itu, katanya, dikemukakan kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri yang bertindak sebagai urus setia Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru, beliau berpandangan tindakan pentadbiran Anwar meneruskan proses berkaitan permohonan itu tidak boleh digambarkan sebagai usaha kerajaan untuk merancang pembebasan Najib.

Aiman Athirah turut mengimbas keputusan Lembaga Pengampunan pada 2024 yang menyaksikan hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta diturunkan kepada RM50 juta.

Katanya, empat perkara berbeza tidak seharusnya dicampuradukkan iaitu permohonan pengampunan pada September 2022, keputusan pengampunan pada 2024, proses litigasi berkaitan dakwaan kewujudan addendum dan keputusan terbaharu Lembaga Pengampunan pada September 2026.

Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman kes SRC International secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Aiman Athirah berkata, kuasa pengampunan bagi Wilayah Persekutuan diperuntukkan menerusi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan telah memberikan nasihat berkaitan implikasi undang-undang, kestabilan negara serta prinsip kedaulatan undang-undang.

“Maka, setelah nasihat diberikan dan keputusan dibuat oleh pihak yang mempunyai kuasa berperlembagaan, apa lagi yang boleh dilakukan oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan selain menghormati Perlembagaan serta melaksanakan apa-apa keputusan yang sah melalui saluran undang-undang?” katanya.

Beliau turut membangkitkan penjelasan kerajaan bahawa Malaysia belum mempunyai undang-undang khusus berkaitan tahanan rumah dan Jabatan Penjara perlu meneliti keputusan rasmi sebelum pelaksanaannya dibuat mengikut undang-undang sedia ada.

Katanya, perkara itu menunjukkan pelaksanaan tahanan rumah mempunyai proses, bidang kuasa, syarat serta prosedur dan bukan boleh dilakukan hanya menerusi arahan politik atau kehendak Perdana Menteri.

Aiman Athirah turut merujuk kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar bahawa Najib masih belum melunaskan denda RM50 juta yang menjadi antara syarat sebelum baki hukumannya boleh dijalani secara tahanan rumah.

“Justeru, bagaimana mungkin masih ada pihak yang mahu menggambarkan seolah-olah PMX dan Kerajaan Perpaduan MADANI mempunyai kuasa mutlak untuk ‘membebaskan’ Datuk Seri Najib dan memberikan tahanan rumah kepadanya?” katanya.

Dalam pada itu, Aiman Athirah menegaskan terdapat perbezaan antara hak seseorang banduan memohon pengampunan dengan pihak yang mempunyai kuasa membuat keputusan terhadap permohonan tersebut.

Menurutnya, kerajaan tidak boleh mengambil alih kuasa yang bukan miliknya atau menolak keputusan institusi berperlembagaan hanya kerana keputusan itu tidak memenuhi kehendak politik mana-mana pihak.

Sehubungan itu, beliau berpandangan isu berkenaan tidak seharusnya melemahkan PH atau dijadikan alasan untuk melunturkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

“Kita boleh berbeza pandangan terhadap keputusan pengampunan. Kita boleh bertanya soalan. Kita boleh menuntut ketelusan. Kita boleh memperjuangkan reformasi institusi. Namun, kita juga mesti jujur mengakui batas kuasa setiap institusi dalam Perlembagaan.

“Perdana Menteri bukan Yang di-Pertuan Agong. Keputusan pengampunan bukan keputusan seorang Perdana Menteri,” katanya.

Beliau turut menyeru supaya kerajaan diberikan ruang untuk meneruskan agenda ekonomi, peluang pekerjaan, tatakelola, reformasi institusi serta usaha memerangi rasuah.

Menurutnya, keputusan pengampunan bersyarat Najib tidak mengubah komitmen kerajaan terhadap usaha membanteras rasuah, manakala kes berkaitan rasuah perlu terus diproses mengikut undang-undang.

“Maka, berikanlah PMX kita ruang untuk memimpin. Berikan kerajaan ruang untuk bekerja. Berikan reformasi ruang untuk berakar. Dan berikan Malaysia ruang untuk bangkit.

“Kita tidak memerlukan politik yang setiap hari mencari musuh. Kita memerlukan politik yang mencari penyelesaian.

“Kita tidak memerlukan politik yang mengapi-apikan kebencian. Kita memerlukan politik yang menyatukan rakyat.

“Kita tidak memerlukan kerajaan yang sibuk melayani setiap perang persepsi. Kita memerlukan kerajaan yang terus bekerja,” katanya.

Aiman Athirah berkata, rakyat akhirnya akan menilai kerajaan berdasarkan apa yang diberikan kepada mereka dan legasi yang ditinggalkan kepada generasi akan datang merangkumi kestabilan, reformasi, tatakelola, integriti, pelaburan, peluang, keadilan serta amanah.

“Jangan berhenti membaiki Malaysia hanya kerana ada yang mahu menjadikan setiap badai sebagai alasan untuk menenggelamkan kapal. Rakyat mahu Bahtera MADANI ini terus belayar, bukan karam kerana kita sendiri sibuk bertelagah di atas geladak,” katanya.

+ - reset