TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

34 tan sampah dikutip dari dua rumah warga emas di Johor Bahru

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU, 22 Sept. – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Johor berjaya mengangkut keluar sebanyak 34 tan sisa pepejal dan sampah dari dua premis kediaman berasingan di Taman Permas Jaya dan Taman Sentosa di sini hari ini.

Pengarah SWCorp Johor, Zainal Fitri Ahmad mengesahkan bahawa operasi pembersihan terbabit melibatkan kediaman yang dihuni oleh dua individu warga emas, di mana sebanyak 21 tan sampah dikeluarkan dari rumah di Taman Sentosa manakala 13 tan lagi dari Taman Permas Jaya.

Operasi bersepadu yang bermula seawal jam 9 pagi hingga waktu tengah hari itu digerakkan susulan aduan awam berhubung aktiviti pengumpulan barang kitar semula secara tidak terkawal oleh penghuni terbabit.

Tindakan pemilik kediaman menimbun barangan terpakai berkenaan menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat berikutan ancaman terhadap aspek kebersihan, keselamatan, dan keselesaan komuniti.

Pemeriksaan fizikal di lokasi mendapati lambakan sisa pepejal yang memenuhi perkarangan rumah berkenaan memerlukan tindakan pengalihan serta pemulihan segera demi memastikan pengurusan sisa dilaksanakan mengikut standard yang ditetapkan.

Zainal Fitri menegaskan bahawa kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh dijalankan bagi memastikan persekitaran kawasan perumahan terbabit kembali bersih, selamat, serta bebas daripada sebarang risiko wabak atau kebakaran.

Pihak SWCorp Johor akan terus menjalankan pemantauan berterusan ke atas kedua-dua lokasi berkenaan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap notis yang telah dikeluarkan, di samping tindakan perundangan susulan jika pesalah berdegil.

+ - reset