TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pekerja landskap terkejut jumpa bom lama berkarat di Taman Rekreasi Mahawangsa

By
|
Kongsi
image

KUALA NERANG, 23 Sept. – Rutin harian seorang pekerja landskap bertukar gempar selepas beliau secara tidak sengaja menemui sebutir bom lama jenis mortir yang belum meletup (unexploded ordnance - UXO) ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Taman Rekreasi Mahawangsa hari ini.

Objek berbahaya berkenaan ditemui oleh Pembantu Khidmat Am Unit Landskap Majlis Daerah Padang Terap semasa beliau menjalankan tugasan pembersihan bersama dua lagi rakan sekerjanya.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Mohd Anuar Junoh mengesahkan bahawa pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan objek disyaki bom terbabit kira-kira jam 11.04 pagi.

Hasil pemeriksaan terperinci oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengesahkan bahawa objek terbabit merupakan sebutir bom mortir berukuran 60 milimeter yang berada dalam keadaan berkarat.

Mohd Anuar mendedahkan bahawa objek fizikal bom berkenaan dijumpai ketika pekerja terbabit sedang sibuk membersihkan kawasan pokok dan mencabut rumpun lalang di dalam petak tanaman (planter box) berdekatan sebuah kedai buah-buahan.

Lokasi penemuan bahan letupan tinggalan lama berkenaan dikesan berada bertentangan dengan kawasan kediaman rasmi Pegawai Daerah Padang Terap.

Sewaktu proses mencabut dan mencungkil akar lalang dilakukan, objek logam berbentuk bom berkenaan secara tidak sengaja terkeluar dari dasar tanah.

Pihak polis seterusnya menyerahkan bom mortir terbabit kepada pihak UPB IPK Kedah bagi membolehkan proses pemusnahan dijalankan dengan selamat di kawasan Kuari Yiked, Jalan UUM-Sintok/Padang Sanai. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di FacebookInstagramTikTokThreads dan Youtube

+ - reset