Berita Berita
Pelajar Tingkatan Dua 'kantoi' curi wang kantin sekolah RM749
JASIN, 23 Sept. – Taktik licik seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua mencuri wang hasil jualan kantin sebanyak RM749 terbongkar selepas perbuatannya memanjat kaunter kedai berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah sekolah berasrama di sini.
Pengusaha kantin berkenaan, Nur Liyana Abdul Khalid mendedahkan bahawa kejadian terbabit disedari oleh pekerjanya kira-kira jam 9.30 malam Selasa lalu selepas mendapati wang hasil jualan sesi petang bagi tempoh jam 2 hingga 5 petang lesap dari tempat simpanan.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas rakaman CCTV premis mendapati suspek yang memakai baju kurta berwarna kelabu, berseluar hitam, serta berkopiah telah bertindak memanjat kaunter sebelum membolot bungkusan wang yang diletakkan bersebelahan peti simpanan tunai.
Pada peringkat awal disoal siasat, suspek mendakwa hanya mengambil wang berjumlah RM5, namun akhirnya mengaku melarikan keseluruhan RM749 selepas ditunjukkan bukti rakaman visual berkenaan.
Pekerja kantin terbabit kemudiannya mengarahkan pelajar berkenaan mengambil semula wang tersebut dari bilik asramanya, namun suspek hanya menyerahkan RM718 manakala baki RM31 lagi didakwa telah digunakan untuk melunaskan hutang kepada rakan.
Susulan insiden kecurian terbabit, pekerja yang bertugas pada malam kejadian telah membuat laporan polis rasmi bagi membolehkan tindakan undang-undang serta siasatan lanjut dijalankan.
Nur Liyana yang menguruskan kantin sekolah berasrama berkenaan sejak tahun 2023 memaklumkan bahawa kes kehilangan wang jualan pernah berlaku beberapa kali sebelum ini, namun tiada tindakan diambil berikutan ketiadaan bukti kukuh.
Walau bagaimanapun, kejadian terbaharu ini memaksa beliau mengambil tindakan tegas memandangkan insiden tidak beretika sedemikian tidak sepatutnya berlaku di institusi pendidikan yang menitikberatkan penerapan nilai-nilai agama.
Beliau turut meluahkan rasa amat terkilan dengan sikap pengurusan sekolah yang didakwanya pasif serta tidak mengambil sebarang inisiatif untuk mengadakan perbincangan atau memanggil ibu bapa pelajar terbabit bagi menyelesaikan isu berkenaan secara baik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert mengesahkan penerimaan laporan polis berhubung insiden berkenaan dan memaklumkan bahawa kes tersebut kini sedang dalam siasatan pihak berkuasa.
Berita berkaitan
September 23, 2026, 8:29 pm
Pekerja landskap terkejut jumpa bom lama berkarat di Taman Rekreasi Mahawangsa
September 23, 2026, 8:26 pm
Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik 20 sen
September 23, 2026, 8:21 pm
Anthony Loke kekal pendirian letak jawatan Menteri Pengangkutan, bakal serah surat kepada PM
September 23, 2026, 4:30 pm
MBSA sita struktur kuil tanpa kebenaran berhampiran Pangsapuri Okid
September 23, 2026, 4:03 pm
‘Kenapa dia nak keluar? Dia tidak ada salah’ - Anwar pujuk Loke jangan letak jawatan
September 23, 2026, 2:49 pm
Ibu bapa bimbang anak ‘terlalu tahu’, PEERS bantu mereka faham batas - Fadhlina
September 23, 2026, 2:38 pm
Mahkamah Rayuan tolak permohonan penangguhan Rosmah bayar RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas
September 23, 2026, 2:29 pm
