TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Kena 'viral' baru selesai? Papan tanda sekolah bahayakan murid dibaiki tak sampai 24 jam

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 SEPTEMBER – Sikap tangkas pihak berkuasa menyelesaikan isu infrastruktur sekolah yang mengancam keselamatan murid kini sekali lagi menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai, sama ada tindakan hanya diambil selepas sesuatu isu itu tular di media sosial.

Ia berikutan tindakan pantas pembaikan struktur tiang papan tanda di sebuah sekolah yang didakwa dipasang secara ala kadar dan berisiko tumbang menghempas pelajar, siap dibaiki tidak sampai 24 jam selepas dikongsikan kepada umum.

Isu berkenaan mula mendapat perhatian selepas pengguna media sosial, Khairulbadri, memuat naik perkongsian menyatakan kebimbangannya mengenai tiang papan tanda di premis sekolah tersebut yang tidak dipasak ke dalam tanah, sebaliknya hanya diikat dan 'ditampal' pada pagar.

Menurut Khairulbadri, struktur sedemikian amat berbahaya kerana prapemasangan yang goyah dan terdedah kepada tiupan angin kencang berpotensi merosakkan pagar serta menghempas murid-murid di kawasan sekeliling.

Beliau turut mempersoalkan mutu kerja kontraktor yang terlibat sambil menyatakan hasrat untuk memanjangkan isu risiko keselamatan itu terus kepada pihak kementerian.

Hantaran berkenaan mendapat maklum balas segera daripada Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, yang mengesahkan pasukannya telah menghantar e-mel rasmi kepada Ketua Penolong Pengarah Sektor Infrastruktur dan Perolehan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) serta Bahagian Pengurusan Aset Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dr Radzi turut memberi jaminan untuk berhubung terus dengan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan pembaikan segera diambil demi keselamatan warga sekolah.

Menjelang hari berikutnya, Khairulbadri mengesahkan tindakan pembaikan telah pun selesai dijalankan oleh pihak bertanggungjawab dalam tempoh singkat.

"Alhamdulillah, dah repair hari ini. Tutup kes. Saya bukan apa, 'concern' keselamatan sahaja. Terima kasih," katanya menerusi hantaran susulan.

Meskipun keprihatinan dan kepantasan tindakan yang diambil dipuji, insiden ini sekali lagi mengundang reaksi orang ramai yang berpandangan bahawa saluran aduan rasmi sepatutnya berfungsi dengan cekap tanpa perlu bergantung kepada tekanan tular di media sosial terlebih dahulu. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di FacebookInstagramTikTokThreads dan Youtube

 

+ - reset