TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Saravanan, isteri dan 3 anak diberi tempoh 30 hari isytihar harta - SPRM

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 25 Sept – Bekas menteri Kabinet, Datuk Seri M. Saravanan bersama isteri dan tiga anaknya akan menerima notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan pengisytiharan harta pada Isnin ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, notis berkenaan akan diserahkan di ibu pejabat SPRM pada jam 9.30 pagi susulan kes rasuah yang sedang dihadapi Saravanan.

Menurut beliau, penyerahan notis itu adalah khusus bagi tujuan pengisytiharan harta dan bukannya untuk mengambil keterangan daripada Saravanan atau ahli keluarganya.

“Notis itu dikeluarkan di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2008 dan tempoh 30 hari juga diberikan,” katanya dalam sidang media selepas Penutupan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026, pada Jumaat.

Abd Halim berkata, SPRM boleh mempertimbangkan lanjutan tempoh sekiranya permohonan dibuat oleh pihak terbabit.

“Notis itu dikeluarkan mengikut Seksyen 36 dan tempoh 30 hari juga diberikan. Sekiranya tempoh tersebut tidak dipatuhi, masa akan diberikan jika mereka memohon,” katanya.

Menurut beliau, Saravanan, isteri dan tiga anaknya sudah dimaklumkan mengenai penyerahan notis berkenaan.

Difahamkan, Saravanan akan hadir bersama isteri dan dua anaknya pada Isnin, manakala seorang lagi anaknya dijangka berbuat demikian pada November kerana masih belajar di London.

Sebelum ini, Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta kira-kira empat tahun lalu.

Mahkamah membenarkannya diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan supaya beliau melaporkan diri di pejabat SPRM setiap tiga bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara sendiri atau melalui pihak ketiga.

Dalam perkembangan berasingan, Abd Halim berkata, SPRM masih belum menerima pengisytiharan harta daripada bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim.

“Kita serahkan notis pada 15 September, jadi tempoh 30 hari belum habis lagi,” katanya.

Sebelum ini, SPRM menyerahkan notis kepada Azeez dan ahli keluarganya termasuk anak-anak supaya mengisytiharkan harta masing-masing dalam tempoh sebulan.

Borang berkaitan turut diberikan kepada pihak terbabit bagi tujuan pengisytiharan dan pelaporan harta kepada SPRM.

+ - reset