Berita Berita
Malaysia tak boleh tanggung sendirian, dunia digesa kongsi beban pelarian Rohingya - Tok Mat
NEW YORK 25 Sept – Malaysia mahu masyarakat antarabangsa memainkan peranan lebih besar dalam menangani krisis Rohingya termasuk berkongsi beban dengan negara-negara yang selama ini menempatkan pelarian berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penyelesaian jangka panjang tidak seharusnya hanya bergantung kepada negara penerima, sebaliknya perlu menangani punca sebenar krisis berkenaan di Myanmar.
Menurutnya, perkara itu termasuk menyelesaikan isu status kewarganegaraan Rohingya serta mewujudkan keadaan yang membolehkan mereka pulang dengan selamat, secara sukarela dan bermaruah ke tempat asal di Negeri Rakhine.
“Perkongsian beban dan tanggungjawab antarabangsa yang lebih besar amat diperlukan bagi menyokong negara-negara yang menempatkan pelarian Rohingya,” katanya ketika menyampaikan intervensi pada Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Khamis.
Dalam masa sama, Mohamad menegaskan Malaysia kekal komited terhadap usaha memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap pelanggaran hak asasi manusia dibawa ke muka pengadilan.
Malaysia turut menyokong kes yang dikemukakan Gambia terhadap Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Kami mengalu-alukan berakhirnya perbicaraan merit di ICJ pada Januari 2026 dan menantikan penghakiman Mahkamah,” katanya.
Malaysia juga aktif menyumbang kepada Dana OIC untuk Rohingya dan menggalakkan negara anggota pertubuhan itu supaya turut memberikan sumbangan.
Malaysia terus bantu Afghanistan
Dalam perkembangan berasingan, Mohamad berkata Malaysia kekal komited terhadap pembangunan kemanusiaan dan sosioekonomi Afghanistan menerusi beberapa inisiatif praktikal.
Pada 10 Ogos lalu, Global Peace Mission (GPM) Malaysia menandatangani memorandum persefahaman dengan Misi OIC di Kabul bagi melaksanakan inisiatif “Memperkasa Pendidikan Kanak-Kanak Perempuan di Afghanistan”.
Program itu melibatkan kerja pengubahsuaian dua sekolah perempuan di Kabul serta penyediaan peralatan penting.
“Malaysia melihat inisiatif ini sebagai sumbangan konkrit dalam menyokong pendidikan kanak-kanak perempuan serta memperkukuh kerjasama dengan OIC di Afghanistan,” katanya.
Malaysia turut menyokong pendekatan OIC untuk terus mengadakan libat urus secara konstruktif dengan pihak berkuasa de facto Afghanistan, namun menegaskan mereka perlu memenuhi kewajipan dan komitmen antarabangsa.
“Mengekalkan saluran komunikasi amat penting bagi memajukan keterangkuman, menangani kebimbangan dan membina keyakinan ke arah keamanan serta kestabilan berkekalan.
“Dengan mengambil kira perkara itu, Malaysia menyertai Kumpulan Hubungan OIC mengenai Afghanistan pada Februari 2026 dan berharap dapat memberikan sumbangan konstruktif kepada usaha berkenaan,” katanya.
Mohamad berada di New York dari 23 hingga 27 September bagi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Berita berkaitan
September 25, 2026, 11:03 pm
Tegur mabuk dan buat bising, anggota polis dibelasah warga Myanmar hingga cedera di kepala, badan
September 25, 2026, 7:20 pm
Penantian 36 tahun berakhir: Anwar ucap tahniah skuad sepak takraw rangkul emas Sukan Asia
September 25, 2026, 7:04 pm
Anggota tentera maut kemalangan di Lebuh Meru Raya selepas menghadiri program Qiamulail
September 25, 2026, 6:01 pm
Saravanan, isteri dan 3 anak diberi tempoh 30 hari isytihar harta - SPRM
September 25, 2026, 3:16 pm
Aminuddin desak Ismail kemuka fakta khusus dakwaan kesalahan pentadbiran lalu cetus krisis adat Negeri Sembilan
September 25, 2026, 3:11 pm
Penggantungan aktiviti PN tidak jejas persiapan BN hadapi PRN Melaka - Saravanan
September 25, 2026, 2:58 pm
Dua pelajar didakwa tekap dada rakan guna seterika hingga cedera di tahfiz
September 25, 2026, 2:54 pm
SMKA Jempol jadi sekolah agama TVET pertama negara, dibina dengan kos RM98 juta
September 25, 2026, 2:44 pm
