TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Duda, janda ditahan JAINJ di bilik hotel di Benut beri alasan mahu berehat serta berbual

By
|
Kongsi
image

PONTIAN, 27 Sept. – Alasan mahu berehat dan berbual-bual selepas penat berjalan gagal menyelamatkan sepasang duda dan janda daripada ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Benut awal pagi tadi.

JAINJ menerusi satu kenyataan rasmi memaklumkan bahawa pasangan berusia dalam lingkungan 40-an dan 30-an berkenaan ditahan dalam satu operasi pemeriksaan rambang dan berkala pada jam 12.30 tengah malam.

Semasa pemeriksaan dijalankan, pasukan penguat kuasa bertindak mengetuk pintu bilik berkenaan serta memberi salam beberapa kali sebelum pintu akhirnya dibuka kira-kira enam minit kemudian oleh seorang lelaki yang hanya berseluar panjang dan berkemeja-T.

Pemeriksaan lanjut di dalam bilik berkenaan menemukan seorang wanita yang berpakaian kemeja-T serta berseluar jean sedang duduk di atas katil.

Hasil soal siasat awal mendapati pasangan terbabit mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan ikatan suami isteri yang sah, sebaliknya masing-masing mengesahkan berstatus duda dan janda.

Menurut kenyataan JAINJ, lelaki berkenaan yang bekerja dan menetap di Batu Pahat telah datang ke daerah ini sebelum bertindak menyewa bilik hotel berkeadaan tertutup terbabit.

Pasangan berkenaan memberi alasan kepada pihak berkuasa bahawa mereka hanya singgah berehat seketika selepas kepenatan bersiaran di sekitar kawasan Benut selain mahu meluangkan masa berbual.

Mereka turut mendakwa telah lama hidup bersendirian serta mengakui mempunyai perancangan serius untuk mendirikan rumah tangga pada tahun depan selepas mengumpul modal perkahwinan yang cukup.

Pasangan terbabit kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan atas kesalahan berkhalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset