TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sukar terima pemergian Tok, Ally Mukhriz kongsi rasa duka atas kehilangan Tun Dr Siti Hasmah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 29 Sept. – Cucu kepada Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Ally Mukhriz meluahkan rasa sedih yang mendalam atas pemergian neneknya dan mengakui sukar untuk menerima kenyataan berkenaan.

Ally, atau nama sebenarnya Meera Alyanna Mukhriz, menyampaikan luahan hatinya menerusi hantaran di Instagram Story selepas pemergian isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Anak perempuan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkenaan turut menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada orang ramai yang mengutuskan mesej ucapan takziah kepada beliau dan keluarga.

Beliau menjelaskan bahawa Allahyarhamah yang mesra disapa Tok meninggalkan impak serta kenangan yang amat mendalam dalam kehidupan dirinya dan seluruh ahli keluarga.

Melalui hantaran terbabit, beliau berjanji akan membalas setiap ucapan dan doa yang diutuskan oleh orang ramai secepat mungkin sebaik sahaja keadaan mengizinkan.

Beliau menyifatkan sokongan serta ucapan simpati daripada orang ramai amat bermakna buat keluarganya dalam mengharungi saat-saat sukar berdepan kehilangan insan tersayang.

Sambil menghargai keprihatinan masyarakat, Ally turut memohon orang ramai agar terus menitipkan doa buat Allahyarhamah neneknya agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Terdahulu, jenazah Dr Siti Hasmah selamat dikesemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada jam 6.20 petang dengan dihadiri Dr Mahathir, anak-anak, serta ahli keluarga terdekat.

Istiadat penghormatan peringkat negeri telah dijalankan bagi memuliakan sumbangan Allahyarhamah yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi di usia 100 tahun.

+ - reset