Berita Berita
Mahkamah tanya pendakwaan kenapa belum bersedia, Saravanan mahu kes rasuah dibicarakan segera
KUALA LUMPUR 29 Sept – Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mahu perbicaraan kes rasuah membabitkan dirinya dimulakan secepat mungkin, namun pihak pendakwaan memaklumkan masih belum bersedia untuk menetapkan tarikh.
Perkara itu dimaklumkan ketika prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus, pada Selasa.
Dalam prosiding berkenaan, mahkamah turut mempersoalkan mengapa pihak pendakwaan masih memerlukan masa dan belum bersedia menetapkan tarikh perbicaraan.
Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini kemudian menjelaskan bahawa pihak pendakwaan masih belum menerima dua dokumen berkaitan kes tersebut.
Saravanan diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent bersama Lavinia Raja.
Geethan memaklumkan pihak pembelaan bersedia menerima dokumen berkenaan dan ia boleh diserahkan pada bila-bila masa sebelum tarikh perbicaraan.
Susulan itu, mahkamah menetapkan 3 November depan bagi penyerahan dua dokumen terbabit serta penetapan tarikh perbicaraan.
Saravanan sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen pada 28 Ogos lalu atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing.
Beliau didakwa menerima suapan sebagai dorongan untuk membantu meluluskan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd ketika memegang jawatan Menteri Sumber Manusia.
Mengikut pertuduhan, Saravanan didakwa menerima wang tunai masing-masing RM150,000 dan RM350,000 selain RM597,000 menerusi sekeping cek.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 Jun dan 7 Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 24(1) akta sama.
Saravanan mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan memilih untuk dibicarakan.
Mahkamah sebelum ini membenarkan beliau diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat supaya melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap tiga bulan.
Beliau turut dilarang mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara sendiri atau melalui pihak ketiga.
Berita berkaitan
September 29, 2026, 11:27 am
Syed Saddiq sebak menahan air mata melihat Tun M lemah menangis di pusara isteri tercinta
September 29, 2026, 11:25 am
1,476 warga Myanmar mula dihantar pulang hari ini, belum diketahui berapa ramai Rohingya
September 29, 2026, 11:19 am
Naik satu anak tangga, pasport Malaysia kini ditangga kedua paling berkuasa di dunia
September 29, 2026, 10:40 am
Pemberian khas RM1.5 bilion hanya langkah sementara, hak 40 peratus Sabah kekal dilindungi
September 29, 2026, 10:27 am
Ibrahim Ali desak SPRM jalankan siasatan tegas dan telus terhadap kerugian UiTM Holdings
September 29, 2026, 10:17 am
Jerebu kembali melanda, 31 stesen catat bacaan IPU tidak sihat di seluruh negara
September 29, 2026, 10:12 am
