TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

1,476 warga Myanmar mula dihantar pulang hari ini, belum diketahui berapa ramai Rohingya

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 29 Sept – Malaysia memulakan fasa pertama Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela hari ini membabitkan 1,476 warga Myanmar yang sebelum ini berada di depot tahanan imigresen.

Kumpulan berkenaan adalah sebahagian daripada 5,000 warga Myanmar yang akan dihantar pulang secara berperingkat susulan persetujuan antara kerajaan Malaysia dan Myanmar.

Menurut laporan AFP, puluhan bas yang membawa kumpulan terbabit dilihat tiba dengan diiringi polis di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, berhampiran Pangkalan Tentera Laut Lumut, Perak.

Mereka dijangka menjalani proses dokumentasi sebelum dibawa ke pangkalan tentera laut berhampiran untuk perjalanan pulang ke Myanmar menggunakan kapal.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan proses penghantaran pulang kumpulan pertama itu akan menggunakan dua kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.

Bagaimanapun, setakat ini belum dapat dipastikan berapa ramai daripada 1,476 individu terbabit merupakan etnik Rohingya dan pihak berkuasa Malaysia belum mendedahkan pecahan berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan kumpulan terbabit sudah menandatangani dokumen menyatakan persetujuan untuk kembali ke Myanmar secara sukarela.

Daripada lebih 10,000 warga Myanmar yang berada di depot tahanan imigresen, seramai 5,000 individu disaring sebelum senarai mereka dikemukakan kepada pihak Myanmar.

Daripada jumlah itu, kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula 1,476 individu dalam fasa pertama.

Kerajaan Myanmar sebelum ini turut memberi jaminan bahawa proses kepulangan rakyatnya akan dilaksanakan secara selamat dan bermaruah.

Bagaimanapun, rancangan penghantaran pulang itu turut mendapat perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia yang membangkitkan kebimbangan mengenai keselamatan individu yang dihantar kembali ke Myanmar.

Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mengiktiraf status pelarian secara rasmi.

+ - reset