TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Salah masuk kereta orang, lelaki dipercayai mabuk sebelum memandu secara berbahaya

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 SEPTEMBER - Niat hati mahu pulang ke rumah selepas selesai meluangkan masa bersama rakan-rakan di sebuah kedai makan, bertukar menjadi detik mencemaskan buat seorang pemuda apabila kenderaan miliknya dicerobohi secara tidak sengaja oleh seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.   

Kejadian tular di media sosial itu dikongsikan oleh seorang pengguna Zulhelmi Amir, yang menceritakan detik cemas sewaktu dia mahu masuk ke dalam keretanya.   

Menurut Zulhelmi, insiden bermula apabila dia berjalan ke arah kenderaannya untuk pulang selepas melaungkan masa di restoran mamak bersama rakan-rakannya. 

Namun, alangkah terkejutnya apabila mendapati tempat duduk pemandu keretanya sudah pun diduduki oleh seorang lelaki tidak dikenali.  

"Niat nak balik, saya pergi dekat kereta dan buka pintu macam biasa. Bila nampak ada orang dekat tempat duduk pemandu, saya siap minta maaf sebab ingatkan salah kereta. Sekali bila tengok nombor pendaftaran, memang sah kereta saya," katanya.   

Tindak-tanduk lelaki misteri itu semakin menghairankan apabila dia bukan sahaja enggan keluar, malah berkeras memarahi pemilik asal kenderaan tersebut. 

Sikap biadab lelaki itu hampir membakar kemarahan Zulhelmi sebelum situasi berjaya dikawal tanpa sebarang pergaduhan fizikal.   

Lelaki yang dipercayai dalam keadaan mabuk teruk itu akhirnya keluar selepas menyedari kehadiran rakan-rakan pemilik kereta. 

Bagaimanapun, episod mendebarkan tidak berhenti di situ.   

Lelaki berkenaan kemudiannya dilihat menuju ke arah kenderaannya sendiri yang diletakkan berhampiran lalu terus memandu dalam keadaan terhuyung-hayang.   

Menerusi rakaman video pendek lain, kenderaan yang dipandu lelaki tersebut dilihat menyusuri jalan raya secara berbahaya. 

Gaya pemanduan yang tidak stabil itu bukan sahaja membahayakan nyawa lelaki berkenaan, malah berisiko tinggi mengundang kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain.   

Sikap tidak bertanggungjawab memandu di bawah pengaruh alkohol terus mendapat kecaman netizen yang rata-ratanya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang membahayakan nyawa awam. 

+ - reset