TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Jangan lindung nama sekolah' - Dua pelajar maut dalam tempoh terdekat, DSK persoal tahap keselamatan sekolah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Okt – “Jangan lindungi nama sekolah. Lindungi nyawa pelajar.”

Itu gesaan Persatuan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK) susulan dua kematian pelajar dalam tempoh terdekat yang menurutnya perlu menjadi isyarat untuk menilai semula tahap keselamatan, pengawasan dan disiplin di institusi pendidikan.

Penaung merangkap Presiden DSK, Datuk N Sivakumar berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan pelajar atau menutup sebarang kelemahan semata-mata bagi menjaga nama baik sekolah dan institusi.

“Apabila seorang pelajar kehilangan nyawa, perkara pertama yang perlu kita fikirkan ialah apa yang berlaku dan mengapa ia boleh berlaku, bukan bagaimana untuk menjaga imej sesebuah sekolah.

“Jika terdapat kelemahan, kita mesti berani mengakuinya. Jika ada kecuaian, tentukan siapa yang bertanggungjawab. Jika berlaku salah laku, tindakan mesti diambil.

“Nyawa seorang anak tidak boleh diletakkan di bawah kepentingan reputasi mana-mana institusi,” katanya.

Sivakumar berkata, kematian pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah di Kuala Pilah baru-baru ini menimbulkan kebimbangan apabila polis menyiasat kemungkinan unsur buli dalam kejadian berkenaan.

Belum reda dengan kejadian itu, negara dikejutkan pula dengan kematian Irene Sofiya Mohd Khairoul Faisal, 16, yang ditemukan di sebuah sekolah di Yong Peng.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kedua-dua kes tidak boleh disamakan kerana siasatan masih berjalan dan setiap kejadian mempunyai fakta tersendiri.

“Kita belum pun selesai menghadam tragedi Kuala Pilah, hari ini kita dikejutkan pula dengan kematian Irene Sofiya Mohd Khairoul Faisal, 16, yang ditemukan berlumuran darah di sebuah sekolah di Yong Peng.

“Saya tidak mahu membuat kesimpulan bahawa kedua-dua kes ini mempunyai punca yang sama. Kes Irene Sofiya masih dalam siasatan dan kita mesti menghormati proses tersebut.

“Tetapi dua kejadian ini cukup untuk kita bertanya sama ada sistem keselamatan dan perlindungan yang ada benar-benar berfungsi,” tegasnya lagi.

Menurut Sivakumar, kewujudan garis panduan pengurusan sekolah selamat dan Polisi Perlindungan Murid sahaja tidak mencukupi sekiranya pelaksanaannya di peringkat sekolah tidak dinilai secara menyeluruh.

“Sekarang bukan masanya untuk kita hanya melihat sama ada garis panduan itu wujud. Kita perlu melihat bagaimana ia dilaksanakan.

“Adakah aduan pelajar benar-benar didengar? Adakah warden dan guru dapat mengenal pasti tanda awal keganasan? Adakah kawasan berisiko dipantau? Dan apabila seorang pelajar meminta pertolongan, adakah seseorang benar-benar bertindak?,” tegasnya.

Beliau berkata, audit keselamatan juga tidak seharusnya hanya tertumpu kepada dokumen dan pematuhan prosedur di atas kertas, sebaliknya perlu melihat keadaan sebenar di sekolah serta asrama.

“Periksa kawasan yang kurang pengawasan, sistem aduan, rekod laporan terdahulu, peranan warden dan tindakan yang diambil terhadap pelajar yang mempunyai sejarah salah laku.

“Kalau ada kelemahan, baiki. Kalau ada prosedur yang tidak berkesan, ubah. Kalau ada pihak yang gagal menjalankan tanggungjawab, jangan takut untuk mengambil tindakan,” ujarnya.

Pada masa sama, Sivakumar mahu aspek disiplin diberi perhatian serius dengan keganasan dalam kalangan pelajar tidak dianggap sebagai kenakalan atau gurauan semata-mata.

“Disiplin bukan hanya soal rambut, pakaian atau datang lewat. Disiplin juga bermaksud memahami bahawa seseorang tidak boleh memukul, mengugut, membuli atau mencederakan orang lain.

“Kita mahu mendidik pelajar, tetapi mendidik tidak bermaksud membiarkan salah laku berulang tanpa tindakan. Jika kesalahan terbukti, tindakan disiplin yang sewajarnya mesti dikenakan dan jika melibatkan jenayah, undang-undang mesti berjalan,” katanya.

Beliau turut meminta guru, warden, kaunselor dan ibu bapa lebih peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar termasuk takut untuk ke sekolah, perubahan emosi, mengasingkan diri, mengalami kecederaan atau menunjukkan ketakutan terhadap individu tertentu.

“Tidak semua mangsa mempunyai keberanian untuk bercakap. Kadang-kadang mereka hanya memberi tanda. Guru, warden, kaunselor dan ibu bapa perlu cukup peka untuk melihat tanda itu sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku,” katanya lagi.

Sivakumar turut mengingatkan bahawa tragedi membabitkan pelajar bukan perkara baharu dengan kematian Muhd Nazmie Aizat, 17, di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 2024 antara kes yang pernah mendapat perhatian.

“Setiap kes mempunyai fakta dan keadaan berbeza. Sebab itu kita tidak boleh melabel semua kematian pelajar sebagai buli. Tetapi kita juga tidak boleh terus menganggap setiap tragedi sebagai kes terpencil tanpa mengambil pengajaran daripadanya,” katanya.

Beliau pada masa sama menyeru masyarakat memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan berhubung kematian Irene Sofiya dan mengelakkan penyebaran spekulasi.

Namun, katanya, usaha memperkukuh aspek keselamatan di sekolah tidak perlu menunggu sehingga semua siasatan selesai.

“Kita tidak perlu menunggu seorang lagi anak mati untuk bertanya apa yang gagal. Pencegahan mesti berlaku sebelum seorang pelajar dipukul, sebelum kecederaan berlaku dan sebelum sebuah keluarga kehilangan anak.

“Jangan lindungi nama sekolah. Lindungi nyawa pelajar.

“Tiada kompromi terhadap keganasan, tiada perlindungan terhadap salah laku dan tiada alasan untuk mengabaikan kelemahan yang boleh membahayakan anak-anak kita,” tegasnya lagi.

+ - reset