TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis tahan tiga pelajar lelaki sebaya kes bunuh Irene Sofiya di sekolah

By
|
Kongsi
image

BATU PAHAT 4 Okt – Tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan polis selepas disyaki mempunyai kaitan dengan kematian pelajar perempuan Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, yang ditemukan di sebuah sekolah di Yong Peng, dekat sini, Sabtu.

Ketiga-tiga remaja terbabit yang juga bersekolah di sekolah sama dengan mangsa dipercayai ditahan beberapa jam selepas penemuan Irene Sofiya, 16, kira-kira jam 5.30 petang.

Difahamkan, seorang daripada pelajar berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pada pagi Ahad bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu polis melengkapkan siasatan.

Terdahulu, Irene Sofiya ditemukan neneknya di kawasan sekolah selepas warga emas itu datang mencarinya apabila menyedari cucunya masih belum pulang ke rumah selepas menghadiri kelas tambahan.

Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan lemah dengan terdapat kesan darah kering serta lebam pada badannya.

Sebuah pasu pecah turut ditemukan berhampiran lokasi mangsa dijumpai.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani sebelum ini memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.

"Polis sedang menyiasat kejadian ini sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan," katanya.

Pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor turut berada di sekolah berkenaan bagi menjalankan siasatan.

+ - reset