TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Adakah benar-benar sukarela? - Suhakam gesa Malaysia henti penghantaran pulang warga Myanmar

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 3 Okt – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan tidak meneruskan penghantaran pulang warga Myanmar tanpa penilaian bebas terhadap risiko keselamatan yang mungkin dihadapi mereka apabila kembali ke negara bergolak itu.

Gesaan itu dibuat selepas Malaysia menghantar pulang 1,476 warga Myanmar dalam fasa pertama program berkenaan, manakala 3,524 lagi dikenal pasti untuk dihantar pulang dalam fasa kedua pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Menurut Suhakam, konflik, perpindahan penduduk dan pelanggaran hak asasi manusia yang serius masih berlaku di Myanmar, manakala laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan keganasan terus berlaku serta keadaan hak asasi manusia semakin meruncing.

Suhakam berkata, prinsip tidak menghantar pulang seseorang ke tempat mereka berdepan risiko sebenar penganiayaan, penyeksaan atau kemudaratan serius lain merupakan sebahagian daripada undang-undang adat antarabangsa.

“Prinsip itu mengikat semua negara tanpa mengira sama ada mereka merupakan pihak kepada Konvensyen Pelarian atau tidak. Ini bermakna Malaysia, walaupun bukan pihak dalam Konvensyen Pelarian, terikat mematuhi prinsip tersebut.

“Justeru, Malaysia dilarang oleh undang-undang antarabangsa daripada menghantar pulang mana-mana pelarian atau pencari suaka ke Myanmar sekiranya terdapat risiko munasabah nyawa atau kebebasan mereka akan terancam disebabkan ras, agama, kewarganegaraan, keahlian dalam kumpulan sosial tertentu atau pegangan politik.

“Sebarang pelanggaran terhadap prinsip teras berkenaan merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Malaysia sebelum ini melaksanakan fasa pertama penghantaran pulang membabitkan 1,476 warga Myanmar menggunakan tiga kapal tentera laut negara berkenaan.

Daripada jumlah itu, 27 adalah kanak-kanak terdiri daripada 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.

Sebanyak 3,524 lagi warga Myanmar dikenal pasti bagi fasa kedua dengan tarikh pelaksanaan akan disahkan kemudian oleh pihak Myanmar.

Kerajaan sebelum ini menegaskan individu terbabit membuat keputusan secara sukarela untuk kembali ke negara asal mereka.

Bagaimanapun, Suhakam mempersoalkan sama ada keputusan itu dibuat selepas mereka menerima maklumat mencukupi mengenai keadaan sebenar di Myanmar serta bebas daripada sebarang tekanan atau paksaan.

Menurut suruhanjaya itu, penentuan sama ada keputusan berkenaan benar-benar dibuat secara sukarela seharusnya dilakukan pihak berkuasa bebas seperti Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), bukannya pihak imigresen.

“Suhakam menyeru kerajaan memastikan tiada lagi penghantaran pulang ke Myanmar dilakukan tanpa penilaian sewajarnya oleh pihak berkuasa bebas berhubung keperluan perlindungan serta risiko yang mungkin dihadapi setiap individu apabila kembali ke sana.

“Pihak berkepentingan dalam perlindungan antarabangsa yang berkaitan juga perlu diberikan akses bersesuaian bagi membantu mengenal pasti mereka yang memerlukan perlindungan.”

Suhakam turut menegaskan perhatian khusus perlu diberikan kepada kanak-kanak, pelarian dan pencari suaka, mangsa pemerdagangan manusia serta individu lain dalam keadaan rentan sebelum sebarang keputusan penghantaran pulang dibuat.

Pada masa sama, suruhanjaya itu mengakui Malaysia mempunyai tanggungjawab menguruskan isu migrasi dan keselamatan negara, namun menegaskan pelaksanaannya perlu selaras dengan obligasi hak asasi manusia antarabangsa.

+ - reset