TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jerebu: Tutup sekolah serta-merta jika IPU lebih 200 - KPM

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 7 Okt – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua sekolah di kawasan atau daerah yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 ditutup serta-merta susulan situasi jerebu yang melanda negara.

KPM berkata, langkah itu merupakan antara garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid terus terpelihara.

“Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memantau dan menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan situasi jerebu di luar jangkaan.

“Situasi jerebu yang melanda negara juga turut menyebabkan beberapa lokasi menunjukkan bacaan IPU pada paras tidak sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPM turut mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawah kementerian supaya memantau rapat keadaan jerebu di lokasi masing-masing.

Semua aktiviti luar bilik darjah termasuk aktiviti keramaian dan sukan di luar bangunan pula perlu dihentikan sekiranya bacaan IPU melebihi 100.

Susulan keadaan semasa, institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Johor di daerah Batu Pahat ditutup sementara mulai 7 Oktober sehingga keadaan kembali selamat atau arahan selanjutnya dikeluarkan.

Sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan mengikut kesesuaian dan ketetapan semasa dengan mengambil kira aspek keselamatan, kesihatan serta kebajikan murid.

Sekolah juga perlu menangguhkan aktiviti luar bilik darjah sekiranya cuaca terlalu panas dan berjerebu serta memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi, selain menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.

KPM turut meminta semua institusi pendidikan sentiasa memantau bacaan IPU dan perkembangan terkini menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar.

“KPM akan memastikan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya sentiasa diberikan keutamaan dari semasa ke semasa,” katanya.

 

+ - reset