TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jerebu semakin teruk, semua sekolah di Johor tutup dua hari bermula esok

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 7 Okt – Semua sekolah di Johor diarahkan tutup selama dua hari bermula esok susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang melanda seluruh daerah di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, keputusan itu dibuat atas titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi keselamatan serta kesihatan murid.

Menurutnya, sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan.

Sekolah yang terbabit dengan pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) atau mana-mana pentaksiran pula akan ditangguhkan dan dijadualkan semula tertakluk kepada ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta pihak berkaitan.

“Kerajaan negeri memahami bahawa keputusan ini mungkin memberi kesan kepada urusan ibu bapa serta penjaga yang masih perlu bekerja.

“Justeru, kerjasama dan pertimbangan para majikan amat dihargai untuk memberikan fleksibiliti yang bersesuaian kepada ibu bapa yang terkesan, termasuk pengaturan kerja yang munasabah mengikut kesesuaian organisasi masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Naqib berkata, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa.

Menurutnya, walaupun keputusan penutupan itu memerlukan penyesuaian daripada semua pihak, keselamatan dan kesihatan kanak-kanak perlu menjadi keutamaan.

Ibu bapa dan penjaga turut dinasihatkan supaya memantau kesihatan anak masing-masing, mengurangkan aktiviti di luar rumah serta memastikan mereka mengambil air secukupnya.

Rawatan segera juga perlu diperoleh sekiranya anak mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas.

Setakat jam 5 petang tadi, beberapa lokasi di Johor mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat iaitu Segamat (179), Batu Pahat (177), Pasir Gudang (176), Larkin (172), Tangkak (169), Pengerang (167), Kota Tinggi (166) dan Kluang (165).

 

+ - reset