Berita Berita
Tiada rakyat Malaysia terlibat serangan lapangan terbang di Arab Saudi - Wisma Putra
KUALA LUMPUR, 11 Okt. – Kementerian Luar mengesahkan tiada laporan rakyat Malaysia terkorban atau cedera susulan serangan terbaharu di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, Riyadh dan insiden projektil berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd, Dammam di Arab Saudi.
Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh sedang berhubung secara rapat dengan beberapa rakyat Malaysia yang terkandas berikutan gangguan penerbangan bagi menyalurkan bantuan konsular yang diperlukan.
Rakyat Malaysia yang menetap, berlepas, atau merancang perjalanan ke Arab Saudi digesa supaya sentiasa meningkatkan kewaspadaan serta mengesahkan status penerbangan dengan syarikat berkaitan sebelum bergerak ke lapangan terbang.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan agensi pentadbiran tempatan di Arab Saudi dan bersedia menghadapi kemungkinan kelewatan penerbangan.
Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) telah mengumumkan penggantungan sementara operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid susulan insiden berkenaan.
Wisma Putra menggesa semua warganegara Malaysia supaya mendaftar serta mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan urusan komunikasi kecemasan.
Talian kecemasan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh boleh dihubungi di 00 966 56 300 6319 atau menerusi talian umum 00 966 11 488 7098 bagi sebarang permohonan bantuan segera.
Serangan peluru berpandu yang menyasarkan terminal penumpang domestik lapangan terbang berkenaan sebelum ini dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 12 nyawa serta mencederakan 309 individu lain.
GACA mengesahkan bahawa mangsa yang terkorban melibatkan warga tempatan Arab Saudi serta pelbagai warganegara asing termasuk Amerika Syarikat, Bangladesh, Mesir, Jordan, Syria, Palestin, dan Sudan. — Media Telus
Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube
Berita berkaitan
October 11, 2026, 5:51 pm
Indonesia belum respon tawaran bantuan padam kebakaran hutan
October 11, 2026, 5:31 pm
Sekolah bawah empat PPD di Selangor, KL ditutup esok akibat jerebu
October 11, 2026, 12:32 pm
Majikan disaran benarkan WFH buat ibu bapa terkesan penutupan sekolah akibat jerebu
October 11, 2026, 12:24 pm
Lebih 400,000 peminjam PTPTN nikmati manfaat penangguhan bayaran balik
October 11, 2026, 12:14 pm
Dakwaan Rohingya guna pasport Bangladesh masuk Malaysia perlu bukti kukuh - Saifuddin
October 11, 2026, 12:08 pm
Jakim siasat video individu Muslim terlibat aktiviti ritual keagamaan bukan Islam
October 10, 2026, 1:24 pm
Situasi jerebu negara tidak menunjukkan perkembangan positif, 33 kawasan catat IPU tidak sihat
October 10, 2026, 1:18 pm
Pemandu lori rempuh 11 kenderaan di Alam Budiman positif dadah
October 10, 2026, 12:48 pm
