Berita Berita
25 tahun penuh makna, konsert GVM Ondra Renda himpun hampir 5,000 peminat
KUALA LUMPUR 12 Okt - Seramai 4,800 peminat membanjiri Konsert GVM 25 Years Ondra Renda bagi meraikan perjalanan muzik selama 25 tahun menerusi persembahan penuh nostalgia, sekali gus mencipta malam istimewa buat pencinta muzik daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Penghargaan itu diberikan susulan kejayaan penganjuran konsert berkenaan yang menghimpunkan 4,800 peminat GVM dalam sebuah persembahan yang sarat dengan nostalgia, keunggulan seni dan kenangan manis.
Pengurus Besar My Events International merangkap Pengarah Bersama Projek Konsert GVM 25 Years Ondra Renda, Dailan Muhammad Ravi berkata, sokongan penonton yang hadir beramai-ramai memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana konsert berkenaan.
Beliau berkata, semangat dan keterujaan penonton yang menikmati setiap persembahan menjadikan segala usaha serta perancangan untuk menjayakan acara itu amat berbaloi.
"Pertama sekali, ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada penonton luar biasa kami yang hadir beramai-ramai bagi menyokong dan menikmati perjalanan muzik yang hebat ini.
"Tenaga, semangat dan keghairahan anda telah memeriahkan ruang dewan dan menghidupkan suasana konsert. Melihat para penonton terhibur dan mendalami setiap bait muzik menjadikan setiap usaha perancangan kami amat berbaloi," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, penganjuran acara berskala besar itu turut bergantung pada sokongan penaja, rakan strategik serta pihak berkuasa tempatan yang memberikan kerjasama sepanjang pelaksanaannya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkenaan atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan bagi memastikan konsert itu dapat direalisasikan.
Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada barisan pemuzik, pemuzik jemputan dan penyanyi yang mencuri perhatian menerusi persembahan mereka di pentas.
Dailan berkata, kejayaan konsert itu juga tidak dapat dipisahkan daripada komitmen seluruh tenaga kerja di sebalik tabir yang bertungkus-lumus memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan lancar.
"Akhir sekali, terima kasih ikhlas saya ucapkan kepada seluruh tenaga kerja di sebalik tabir. Dedikasi, usaha gigih dan pelaksanaan tanpa henti anda telah mengubah visi ini menjadi sebuah kejayaan yang amat membanggakan," katanya.
Konsert berkenaan menghimpunkan pencinta muzik daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi meraikan perjalanan dan warisan muzik GVM sepanjang 25 tahun, menerusi persembahan yang menggabungkan unsur nostalgia serta keunggulan seni. - Media Telus
Berita berkaitan
October 12, 2026, 8:28 pm
Budak tujuh tahun parah diserang lapan anjing liar ketika bermain di taman permainan di Iskandar Puteri
October 12, 2026, 5:20 pm
Dituduh curi motosikal, remaja dikurung dua hari, diseksa hingga mati sebelum mayat dibuang tepi jalan
October 12, 2026, 10:57 am
Fadhlina faham keresahan ibu bapa, KPM tetap pantau jerebu, keputusan tutup sekolah bergantung IPU setempat
October 12, 2026, 10:39 am
Anggota Cawangan Khas kemuka bukti tambahan dakwa dikasari Mohd Shuhaily
October 11, 2026, 5:51 pm
Indonesia belum respon tawaran bantuan padam kebakaran hutan
October 11, 2026, 5:31 pm
Sekolah bawah empat PPD di Selangor, KL ditutup esok akibat jerebu
October 11, 2026, 12:32 pm
Majikan disaran benarkan WFH buat ibu bapa terkesan penutupan sekolah akibat jerebu
October 11, 2026, 12:24 pm
Lebih 400,000 peminjam PTPTN nikmati manfaat penangguhan bayaran balik
October 11, 2026, 12:19 pm
