Berita Berita
Dituduh curi motosikal, remaja dikurung dua hari, diseksa hingga mati sebelum mayat dibuang tepi jalan
ALOR SETAR 12 Okt – Hanya kerana dituduh mencuri motosikal, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dikurung selama dua hari, dipukul, diseksa dan digunting rambut sebelum ditemukan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.
Lebih memilukan, mayat Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam kemudian dibuang di tepi jalan berhampiran kawasan semak di Jalan Harvard, Gurun, sebelum ditemukan orang awam pada pagi 8 Oktober lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada kemarahan suspek utama berusia 24 tahun selepas menerima aduan penduduk tempatan yang mendakwa mangsa mencuri motosikal.
Bagaimanapun, semakan polis mendapati tiada sebarang laporan dibuat berhubung dakwaan kecurian motosikal berkenaan.
“Motif kejadian adalah mangsa berusia 18 tahun dituduh mencuri motosikal salah seorang daripada suspek berkenaan tanpa ada laporan polis.
“Jadi suspek buat siasatan sendiri serta menangkap mangsa pada 5 Oktober lalu di Pendang dan membawanya ke rumah di Gurun sebelum mengurung mangsa selama dua hari.
“Selama dua hari itulah mangsa dipukul dan diseksa serta rambutnya dipotong hinggalah akhirnya pada malam 7 Oktober mangsa didapati sudah meninggal.
“Mereka juga tergamak membuang mayat mangsa di tepi jalan esoknya, sebelum ditemui orang awam jam 8 pagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Menurut Adzli, polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat mangsa pada jam 8.05 pagi, 8 Oktober lalu, sebelum menghantarnya ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan pada hari sama mendapati punca kematian disebabkan kecederaan hentakan di kepala oleh daya objek tumpul (blunt force trauma to the head),” katanya.
Susulan penemuan itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kedah bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda melancarkan operasi mengesan individu yang dipercayai terbabit.
Hasil tindakan pantas, polis menahan 14 lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 24 tahun di sekitar Gurun dan Guar Chempedak antara jam 12 tengah hari hingga 10.30 malam pada hari sama.
Adzli berkata, polis turut merampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta Honda City berwarna perak, gunting serta sekeping MyKad dipercayai milik mangsa.
Menurutnya, gunting yang dirampas dipercayai digunakan untuk memotong rambut Muhammad Haikal ketika mangsa dikurung, namun objek tumpul yang digunakan untuk memukulnya masih belum ditemukan.
“Gunting dirampas kerana ia digunakan untuk menggunting rambut mangsa, namun objek tumpul yang digunakan dalam kejadian itu belum ditemui.
“Siasatan mendapati tiada laporan berkaitan motosikal didakwa dicuri mangsa.
“Mungkin sudah dipulangkan balik, walaupun mangsa dituduh mencuri ia tidak bermakna tindakan boleh diambil sesuka hati,” katanya.
Daripada 14 suspek yang ditahan, hanya seorang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Seramai 12 suspek direman selama enam hari sehingga Rabu ini, manakala dua lagi yang masih di bawah umur direman selama lima hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
Adzli turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya mengesyaki seseorang melakukan jenayah, sebaliknya menyerahkan siasatan kepada pihak polis.
Beliau berkata, walaupun orang awam mempunyai kuasa melakukan tangkapan dalam keadaan tertentu, tindakan itu tetap tertakluk kepada batas undang-undang dan tidak membenarkan seseorang dikurung atau dipukul.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Menurutnya, polis berjaya mengenal pasti dan menahan suspek utama dalam tempoh empat jam selepas penemuan mayat, sebelum keseluruhan 14 suspek ditahan bagi membantu siasatan.
Berita berkaitan
October 12, 2026, 8:28 pm
Budak tujuh tahun parah diserang lapan anjing liar ketika bermain di taman permainan di Iskandar Puteri
October 12, 2026, 10:57 am
Fadhlina faham keresahan ibu bapa, KPM tetap pantau jerebu, keputusan tutup sekolah bergantung IPU setempat
October 12, 2026, 10:39 am
Anggota Cawangan Khas kemuka bukti tambahan dakwa dikasari Mohd Shuhaily
October 12, 2026, 10:20 am
25 tahun penuh makna, konsert GVM Ondra Renda himpun hampir 5,000 peminat
October 11, 2026, 5:51 pm
Indonesia belum respon tawaran bantuan padam kebakaran hutan
October 11, 2026, 5:31 pm
Sekolah bawah empat PPD di Selangor, KL ditutup esok akibat jerebu
October 11, 2026, 12:32 pm
Majikan disaran benarkan WFH buat ibu bapa terkesan penutupan sekolah akibat jerebu
October 11, 2026, 12:24 pm
Lebih 400,000 peminjam PTPTN nikmati manfaat penangguhan bayaran balik
October 11, 2026, 12:19 pm
