TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Fadhlina faham keresahan ibu bapa, KPM tetap pantau jerebu, keputusan tutup sekolah bergantung IPU setempat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 12 Okt - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memantau situasi jerebu bagi memastikan keselamatan murid terjamin, selain mengambil kira kebimbangan ibu bapa yang memerlukan keputusan penutupan sekolah diumumkan lebih awal untuk membuat persediaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau memahami keresahan ibu bapa yang mengharapkan pengumuman dibuat lebih awal, namun keputusan berkenaan perlu mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang boleh berubah mengikut masa dan lokasi.

Justeru, katanya, penutupan sekolah tidak boleh dibuat secara menyeluruh tanpa mengambil kira keadaan semasa di kawasan terbabit.

“Pengurusan jerebu juga melibatkan tanggungjawab yang lebih luas. Jabatan Alam Sekitar berperanan memantau kualiti udara dan menangani isu pencemaran manakala Kementerian Kesihatan Malaysia memberikan panduan berkaitan risiko kesihatan kepada masyarakat.

“KPM pula memberi tumpuan kepada keselamatan murid dan pengurusan operasi sekolah berdasarkan keadaan semasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Fadhlina berkata, pengalaman ketika pandemik COVID-19 turut menunjukkan bahawa gangguan terhadap sesi persekolahan boleh memberi kesan besar kepada proses pembelajaran murid.

Menurutnya, usaha menangani keciciran pembelajaran masih diteruskan sehingga kini berikutan kehilangan masa pembelajaran bukan sesuatu yang mudah diganti.

Katanya, keadaan itu menjadi lebih mencabar apabila kemudahan pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) tidak seragam bagi setiap murid.

Dalam perkembangan sama, beliau menyarankan murid yang tinggal di asrama supaya kekal berada di situ sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat jerebu, selagi keadaan mengizinkan dan keselamatan serta kebajikan mereka terjamin.

Beliau berkata, langkah itu juga bertujuan mengelakkan ibu bapa terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak ke asrama secara berulang kali sepanjang tempoh berkenaan.

Menurutnya, KPM akan terus memantau perkembangan situasi jerebu menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), selain menambah baik penyampaian maklumat kepada ibu bapa.

Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atas pandangan, kesabaran dan kerjasama mereka dalam menghadapi situasi jerebu.

“Terima kasih kepada semua ibu bapa atas pandangan dan kesabaran sepanjang kita berdepan situasi ini,” katanya. - Media Telus

+ - reset