TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Paksa budak 3 tahun makan najis sendiri dari lampin pakai buang, bekas pemandu e-hailing dipenjara 8 tahun 6 bulan

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 14 Okt – Perbuatan kejam seorang bekas pemandu e-hailing yang memaksa kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun memakan najis sendiri selain melakukan penderaan fizikal membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Chan Wen Jie, 32, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 berhubung kejadian penderaan yang berlaku empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Fareed Abdul Gapoor turut memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula dari tarikh tangkapannya pada 3 Oktober 2022.

Selain hukuman penjara, Chan dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan seorang penjamin tanpa cagaran serta diperintahkan menjalani kerja komuniti selama 36 jam dalam tempoh tidak melebihi enam bulan.

Dalam penghakimannya, Abdul Fareed menyifatkan tindakan tertuduh memaksa mangsa memakan najis sendiri daripada lampin pakai buang sebagai perbuatan tidak bertamadun dan menjatuhkan maruah manusia.

Menurut beliau, tindakan sedemikian sama sekali tidak boleh diterima sebagai kaedah mendidik kanak-kanak.

"Mahkamah turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan tertuduh melakukan pelbagai perbuatan kejam terhadap mangsa, termasuk menghentak kepala, melakukan ketuk ketampi, memaksa mangsa berdiri untuk tempoh lama serta merotan.

"Menurut mahkamah, rakaman itu menunjukkan perbuatan tertuduh melampaui hukuman fizikal biasa, sebaliknya penderaan keterlaluan tanpa belas kasihan terhadap kanak-kanak berusia tiga tahun yang tidak berdaya melindungi diri sendiri," katanya.

Abdul Fareed turut menegaskan bahawa tertuduh telah mengkhianati kepercayaan bapa mangsa yang menyerahkan tanggungjawab menjaga anaknya kepada lelaki berkenaan.

Katanya, tertuduh sepatutnya memulangkan kanak-kanak itu kepada bapanya sekiranya tidak mampu melaksanakan tanggungjawab menjaga mangsa dengan baik.

Mahkamah juga menolak alasan pembelaan bahawa tindakan fizikal yang dilakukan tertuduh merupakan kaedah mendidik, sebagaimana yang didakwa turut diamalkan terhadap anak kandungnya sendiri.

Bagaimanapun, Abdul Fareed menjelaskan bahawa pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang telah ditarik balik serta punca kematian mangsa tidak diambil kira ketika menentukan hukuman bagi pertuduhan pilihan tersebut.

"Mahkamah bagaimanapun tidak mengambil kira pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sudah ditarik balik serta punca kematian mangsa ketika menentukan hukuman bagi pertuduhan pilihan.

"Selepas menimbang faktor pemberatan dan mitigasi, mahkamah memutuskan hukuman penjara lapan tahun enam bulan bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan, selain menekankan kepentingan melindungi kanak-kanak daripada penderaan," katanya.

Mengikut rekod kes, Chan pada asalnya didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 13 Oktober 2022 atas pertuduhan membunuh Lee See Jie, tiga tahun.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah rumah di Jalan Ria 2, Taman Skudai Ria, Skudai, antara jam 8 malam hingga 8.30 malam pada 2 Oktober 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong dan Nordiana Zubir, manakala tertuduh diwakili peguam K Sarawanakumar.

Sumber: Harian Metro

+ - reset