Berita Berita
Sekolah dibuka, ibu bapa bimbang kesihatan anak boleh pilih tidak hantar ke sekolah ketika jerebu – Fadhlina
KUALA LUMPUR 14 Okt – Ibu bapa yang bimbang terhadap kesihatan dan keselamatan anak-anak susulan keadaan jerebu dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah, dengan syarat memaklumkan keputusan itu kepada pihak sekolah.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kelonggaran berkenaan diberikan bagi memastikan kebajikan murid terus terpelihara, terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau sensitif terhadap pencemaran udara.
“Ibu bapa dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang akan kesihatan dan keselamatan mereka sepanjang tempoh jerebu dengan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Fadhlina, Kementerian Pendidikan (KPM) memahami keresahan ibu bapa yang perlu menunggu keputusan berhubung pengoperasian sekolah setiap hari berikutan keadaan jerebu yang tidak menentu.
Sehubungan itu, katanya, KPM telah memulakan penyelarasan tatacara pengoperasian sekolah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) selepas mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan serta mengambil kira penegasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Menerusi ketetapan tersebut, semua aktiviti luar bilik darjah perlu ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100, manakala sekolah akan ditutup sekiranya bacaan melebihi 200.
Bagaimanapun, Fadhlina menjelaskan keputusan menutup sekolah perlu mengambil kira keadaan semasa, termasuk perubahan bacaan IPU dan nasihat kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kita perlu memahami bahawa bacaan IPU boleh berubah dalam tempoh yang singkat. Penutupan sekolah untuk beberapa hari lebih awal tanpa mengambil kira perubahan ini boleh menyebabkan anak-anak kehilangan masa pembelajaran walaupun kualiti udara telah kembali pulih,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, KKM turut memberikan pandangan berhubung langkah pencegahan kesihatan yang boleh dilaksanakan sepanjang tempoh jerebu, termasuk penggunaan pelitup muka bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada pencemaran udara.
Fadhlina menegaskan, keselamatan dan kesihatan murid kekal menjadi keutamaan kementerian, namun aspek kelangsungan pembelajaran juga perlu diberikan perhatian.
Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan penutupan sekolah perlu dibuat secara seimbang supaya murid tidak kehilangan masa pembelajaran tanpa keperluan.
“Saya berharap penyelarasan ini dapat memberikan lebih kepastian kepada ibu bapa, mengurangkan kesulitan yang dihadapi dan memastikan setiap keputusan pengoperasian sekolah dibuat dengan mengambil kira kesihatan serta kelangsungan pendidikan anak-anak secara seimbang,” katanya.
Berita berkaitan
October 14, 2026, 6:11 pm
Najib dah terima perintah tahanan rumah, bakal tinggal bersama keluarga di Langgak Duta – Peguam
October 14, 2026, 5:23 pm
'Ini semua fitnah menjelang PRN' - DAP Melaka nafi lindungi sekolah agama Rohingya tanpa lesen
October 14, 2026, 4:34 pm
DUN Sarawak: Kanak-kanak bukan warganegara masih boleh belajar di sekolah kerajaan
October 14, 2026, 3:57 pm
Diculik kenalan sendiri, diseksa sebelum dibunuh dan ditanam di Semenyih, polis tahan 15 individu
October 14, 2026, 3:47 pm
Dua pelajar sekolah diperintah jalani khidmat masyarakat kerana hina remaja OKU di TikTok
October 14, 2026, 3:34 pm
Permohonan gantung hukuman kes 1MDB Najib Razak ditolak Mahkamah Tinggi
October 14, 2026, 3:25 pm
