TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Diculik kenalan sendiri, diseksa sebelum dibunuh dan ditanam di Semenyih, polis tahan 15 individu

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 14 Okt – Perselisihan faham dan masalah peribadi dipercayai menjadi punca seorang lelaki berusia 42 tahun diculik, diseksa sebelum dibunuh dan mayatnya ditanam di sebuah kawasan di Semenyih, Kajang, bulan lalu.

Kejadian itu terbongkar selepas polis menjalankan beberapa siri operasi yang membawa kepada penahanan 15 individu dipercayai terbabit dalam tiga kes jenayah berasingan, termasuk penculikan, pembunuhan dan kesalahan berkaitan senjata api.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mangsa yang bekerja sendiri dipercayai mengenali suspek dan mempunyai perselisihan faham dengan mereka yang disyaki turut terlibat dalam aktiviti gangsterisme.

Menurutnya, mangsa dilarikan sekumpulan individu menggunakan sebuah kereta di Ampang Waterfront antara jam 4 pagi hingga 4.30 pagi pada 24 September lalu.

Kehilangan mangsa kemudian dilaporkan isterinya kepada polis sebelum operasi mengesan dan menyelamat dijalankan.

"Berdasarkan laporan polis yang diterima, kita menjalankan operasi sehingga membawa kepada beberapa siri tangkapan awal.

"Pada 27 September lalu, pihak polis dibawa ke sebuah lokasi di sekitar Semenyih, Kajang, yang menjadi tempat mangsa dibunuh dan ditanam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Shazeli berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai dikurung terlebih dahulu di sebuah premis kediaman lain sebelum dibunuh, namun tempoh sebenar kejadian pembunuhan masih belum dapat dipastikan.

Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat beberapa luka senjata tajam pada bahagian leher, selain terdapat pelbagai kecederaan lain pada tubuhnya.

"Berdasarkan kecederaan yang ditemukan pada tubuh mangsa, keadaan mangsa menunjukkan perkara sedemikian (diseksa).

"Selain luka pada bahagian leher, terdapat pelbagai kecederaan lain pada tubuh mangsa," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor dengan kerjasama JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang dan IPD Kajang antara 24 hingga 27 September berjaya menahan 15 suspek berusia lingkungan 20 hingga 48 tahun.

Mereka terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua lelaki warga asing.

Semakan mendapati sebahagian suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan dadah.

Polis turut merampas dua laras senapang, sebuah Proton Wira dan sebilah cangkul yang dipercayai digunakan untuk menanam mayat mangsa.

Menurut Shazeli, siasatan juga mendapati tiada wang tebusan diterima dalam kejadian itu.

Beliau berkata, beberapa suspek telah dihadapkan ke mahkamah pada 13 Oktober lalu atas pelbagai pertuduhan.

"Bagi kes melarikan orang, tiga suspek dituduh mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

"Bagi kes pembunuhan pula, dua suspek dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, manakala tiga lagi dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Bagi kesalahan berkaitan senjata api pula, tiga suspek didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang dibaca bersama Seksyen 36(1) akta sama.

Dua suspek warga asing turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, sebahagian individu yang ditahan dijadikan saksi pendakwaan, manakala polis masih memburu lima lagi suspek yang dipercayai berada di dalam negara.

"Pihak polis percaya lima suspek yang masih diburu berada di dalam negara, kita akan berkongsi butiran individu yang dikehendaki bagi membantu usaha mengesan mereka,” katanya.

Shazeli turut meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan suspek yang masih bebas atau aktiviti mencurigakan, khususnya membabitkan ancaman keselamatan dan penggunaan senjata api, kepada pihak polis.

+ - reset