TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Najib dah terima perintah tahanan rumah, bakal tinggal bersama keluarga di Langgak Duta – Peguam

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 14 Okt - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, bersama keluarga menerusi perintah tahanan rumah yang diterimanya daripada Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu disahkan peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang memaklumkan bahawa Najib sudah menerima perintah berkenaan berserta lampiran mengandungi syarat, terma dan mekanisme pelaksanaannya.

"Datuk Seri Najib memang sudah diberikan perintah Yang di-Pertuan Agong dan perintah itu juga mempunyai lampiran berkenaan syarat serta terma pelaksanaan perintah itu, termasuk mekanismenya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, Shafee menjelaskan kandungan perintah itu tidak boleh didedahkan kepada umum selepas Najib dimaklumkan oleh pihak penjara supaya tidak berbuat demikian.

Menurutnya, arahan itu bertujuan mengelakkan timbulnya pelbagai spekulasi dan perbincangan mengenai syarat pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.

"Najib tidak boleh mendedahkan kandungan perintah itu kerana beliau sudah dimaklumkan oleh pihak penjara bahawa perkara itu tidak boleh didedahkan.

"Ini kerana jika kandungannya didedahkan, orang ramai dan media akan mula membuat pelbagai spekulasi dan membincangkan perkara itu," katanya.

Ketika ditanya mengenai lokasi tahanan rumah, Shafee mengesahkan bekas Perdana Menteri itu akan ditempatkan di kediamannya di Langgak Duta.

"Yang itu sudah disahkan (tahanan rumah) di Langgak Duta. Beliau boleh tinggal bersama keluarganya," katanya.

Terdahulu, pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dilaporkan memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Pengampunan bersyarat itu turut tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta.

Keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-64.

Sebelum ini, Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas sabitan terhadapnya dalam kes SRC International dikekalkan di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

+ - reset