TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

DUN Sarawak: Kanak-kanak bukan warganegara masih boleh belajar di sekolah kerajaan

By
|
Kongsi
image

 

KUCHING 14 Okt – Kanak-kanak yang belum memperoleh kewarganegaraan Malaysia masih boleh mendapat akses pendidikan di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan, tertakluk kepada syarat dan prosedur ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kanak-kanak yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa kandung warganegara Malaysia layak mendapat akses pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996 serta peraturan kemasukan murid yang sedang berkuat kuasa.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, maklumat ibu atau bapa yang berstatus warganegara Malaysia perlu dinyatakan dalam sijil kelahiran kanak-kanak berkenaan bagi memenuhi syarat kemasukan ke sekolah.

"Bagi tujuan kemasukan ke sekolah, maklumat ibu atau bapa yang juga warganegara Malaysia perlu tertera dalam sijil kelahiran kanak-kanak berkenaan, selain memenuhi syarat ditetapkan KPM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Dr Johnichal Rayong Ngipav (GPS-Engkelili) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Dr Johnichal meminta penjelasan mengenai status kanak-kanak yang mempunyai salah seorang ibu atau bapa bukan warganegara Malaysia tetapi dilahirkan dan dibesarkan di Sarawak, termasuk kelayakan mereka untuk mengikuti persekolahan di negeri itu.

Mengulas lanjut, Fatimah menegaskan bahawa status kewarganegaraan dan akses kepada pendidikan merupakan dua perkara berbeza yang tidak seharusnya disamakan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mendedahkan seramai 224 kanak-kanak yang dilahirkan di Sarawak didaftarkan sebagai bukan warganegara bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Menurutnya, antara faktor yang menyumbang kepada keadaan itu ialah perkahwinan ibu bapa yang tidak didaftarkan secara sah mengikut undang-undang Malaysia.

Selain itu, terdapat juga kes membabitkan ibu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah serta kanak-kanak yang dijumpai atau ditinggalkan.

Fatimah menjelaskan, pendaftaran kelahiran di Sarawak dilaksanakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengikut Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sarawak (Bab 10).

Katanya, ordinan berkenaan mewajibkan setiap kelahiran di negeri itu didaftarkan tanpa mengira status kewarganegaraan ibu bapa.

Namun, beliau menegaskan bahawa kelahiran di Malaysia tidak secara automatik melayakkan seseorang kanak-kanak memperoleh kewarganegaraan negara ini.

"Bagaimanapun, kelahiran di Malaysia tidak secara automatik memberikan kewarganegaraan Malaysia.

"Ini kepada seseorang kanak-kanak kerana status berkenaan ditentukan berdasarkan kewarganegaraan ibu bapa ketika kelahiran serta status perkahwinan mereka yang sah dan berdaftar mengikut undang-undang negara.

"Contohnya jika ibu bukan warganegara Malaysia manakala bapa ialah warganegara Malaysia, tetapi perkahwinan mereka belum didaftarkan secara sah ketika anak dilahirkan, status kewarganegaraan anak itu boleh mengikut ibu, iaitu bukan warganegara Malaysia," katanya.

+ - reset