TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Ini semua fitnah menjelang PRN' - DAP Melaka nafi lindungi sekolah agama Rohingya tanpa lesen

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 14 Okt – DAP Melaka menafikan dakwaan kononnya parti itu melindungi sebuah sekolah agama Rohingya yang beroperasi tanpa lesen di Pengkalan Rama Pantai, di sini, susulan penularan sebuah video di media sosial.

Setiausaha Organisasi DAP Melaka, Low Chee Leong menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai fitnah berniat jahat yang boleh menjejaskan reputasi parti serta pemimpinnya, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, laporan polis dibuat oleh pembantunya, Tan Ching Wan di Balai Polis Tengkera hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap individu yang menyebarkan dakwaan tersebut.

Beliau berkata, video yang dimuat naik menerusi akaun Facebook Steven Lee itu turut menuduh dirinya bersama Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong bersubahat dan memberikan perlindungan kepada sekolah berkenaan.

"Ini bukan sahaja fitnah, malah satu tuduhan dan perbuatan jahat menjelang PRN Melaka.

"Saya menegaskan dakwaan itu adalah tohmahan terhadap DAP dan kita buat laporan supaya polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas laporan polis dibuat di Balai Polis Tengkera, hari ini.

Chee Leong yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menubuhkan atau mengendalikan sekolah agama seperti yang didakwa.

Sebaliknya, beliau berkata, urusan penguatkuasaan berkaitan sekolah agama terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Menurutnya, isu kewujudan sekolah berkenaan juga bukan perkara baharu kerana pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Rama Pantai.

Katanya, laporan berhubung perkara itu turut dikemukakan kepada pejabat daerah untuk perhatian pihak berkuasa berkaitan.

Dalam pada itu, Chee Leong menggesa polis dan MCMC menjalankan siasatan segera terhadap penyebaran video berkenaan kerana mendakwa kandungannya bukan sahaja mencemarkan nama baik individu terlibat, malah menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R).

"DAP tidak pernah menyalurkan peruntukan atau memberikan sokongan kepada sekolah berkenaan," tegasnya.

+ - reset