TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'TuJu memalukan negara, gagal tandingi Waze,' - Guan Eng dakwa Anwar diberi nasihat yang salah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 22 Okt – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menyifatkan pelancaran aplikasi navigasi tempatan TuJu sebagai sesuatu yang memalukan negara susulan dakwaan pelbagai kelemahan fungsi yang menyukarkan pengguna.

Beliau berkata, meskipun usaha kerajaan menggantikan Waze atas faktor keselamatan negara mendapat sokongan, aplikasi alternatif yang diperkenalkan sepatutnya menjalani penilaian menyeluruh dan ujian ketat sebelum dilancarkan kepada orang ramai.

Menurutnya, maklum balas pengguna setakat ini menunjukkan TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) didakwa masih gagal menawarkan perkhidmatan navigasi yang setanding dengan Waze.

"Pelancaran aplikasi navigasi tempatan TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai alternatif kepada Waze untuk keperluan navigasi jalan raya ternyata menjadi sesuatu yang memalukan negara.

"Walaupun ramai menyokong usaha kerajaan untuk melindungi kepentingan keselamatan negara, penilaian sewajarnya dan ujian yang ketat perlu dijalankan bagi memastikan aplikasi pengganti, TuJu benar-benar mampu menandingi serta menggantikan fungsi asas navigasi jalan raya yang ditawarkan oleh Waze," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Guan Eng turut mempersoalkan kewajaran kerajaan mewajibkan penggunaan TuJu ketika aplikasi itu didakwa masih berdepan pelbagai masalah teknikal.

“Rakyat Malaysia menyokong penggantian aplikasi Waze kerana risiko keselamatan berkaitan maklumat dan data pergerakan rakyat, memandangkan aplikasi itu tertakluk kepada undang-undang kerajaan Israel.

“Namun, mereka tidak menyokong penggantiannya dengan aplikasi yang dalam keadaan terbaik sekalipun masih mempunyai kecacatan, manakala dalam keadaan terburuk pula gagal berfungsi,” katanya.

Beliau mendakwa Perdana Menteri telah diberikan nasihat yang salah mengenai keupayaan teknologi TuJu untuk menggantikan Waze.

Sehubungan itu, Guan Eng menggesa kerajaan mendedahkan jumlah perbelanjaan yang digunakan bagi membangunkan aplikasi berkenaan.

Katanya, pihak yang bertanggungjawab meyakinkan Perdana Menteri mengenai kemampuan TuJu juga perlu dipertanggungjawabkan atas kelemahan yang didakwa berlaku.

"Adakah pihak yang mereka bentuk TuJu mendapatkan nasihat pakar daripada golongan profesional dari Amerika Syarikat, Eropah, China atau Jepun?

"Kerajaan perlu menilai semula perancangan pembangunan aplikasi itu dari awal bagi memastikan alternatif kepada Waze benar-benar berkesan," katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya Anwar mengarahkan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) membangunkan versi TuJu yang lebih baik bagi memenuhi keperluan pengguna jalan raya.

"Bagaimanakah JKSN boleh diharapkan untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam menangani ancaman siber yang sentiasa berkembang, memperkukuh kesiapsiagaan negara dan kedaulatan digital, sedangkan keperluan asas pengguna untuk navigasi jalan raya pun tidak dapat dipenuhi?" katanya.

+ - reset