TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

7.6 juta rekod pengguna Waze didakwa dijual di dark web

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 22 Okt – Lebih 7.6 juta rekod pengguna aplikasi navigasi Waze didakwa dicuri dan diiklankan untuk dijual di pasaran web gelap (dark web) oleh penjenayah siber.

Laporan syarikat teknologi keselamatan siber, ClearPhish, mendedahkan pangkalan data berkenaan didakwa mengandungi maklumat sensitif pengguna, termasuk nama pengguna, pengecam unik pengguna (ID), data lokasi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) dan sejarah perjalanan.

Menurut laporan itu, data berkenaan diiklankan untuk dijual oleh individu yang mendakwa mencurinya, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan maklumat peribadi pengguna aplikasi berkenaan.

"Sekiranya kesahihan data dapat dibuktikan, maklumat itu berpotensi dieksploitasi untuk pelbagai tujuan berniat jahat, termasuk menghendap individu, mengenal pasti rutin perjalanan serta merancang serangan bersasar," menurut laporan itu.

Laporan berkenaan turut menyatakan Waze sebelum ini pernah menjadi perhatian susulan isu keselamatan siber.

Penyelidik keselamatan siber, Peter Gasper, sebelum ini dilaporkan mengenal pasti kelemahan pada antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) yang berpotensi dieksploitasi untuk menjejaki pergerakan pengguna secara masa nyata.

"Walaupun Google dilaporkan sudah membaiki beberapa kelemahan berkenaan, dakwaan terbaharu itu menimbulkan persoalan sama ada Waze masih mempunyai kelemahan keselamatan yang ketara," menurut laporan itu.

Menurut ClearPhish, keupayaan mengakses data GPS masa nyata dan ID unik boleh mendatangkan risiko serius sekiranya maklumat berkenaan jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

Data berkenaan berpotensi disalahgunakan untuk menjejaki pergerakan pengguna, memantau corak perjalanan harian atau menyamar sebagai individu tertentu bagi melakukan kegiatan jenayah.

+ - reset