Berita Berita
Manjesh Singh mengaku bersalah simbah cecair busuk, pecahkan cermin masjid di Tumpat
PASIR MAS 22 Okt – Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas dua pertuduhan merosakkan karpet masjid dengan menyimbah cecair berbau busuk serta menceroboh sebuah masjid di Tumpat, awal bulan ini.
Tertuduh, Manjesh Singh Shukdev Singh, 38, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki berkenaan didakwa memecahkan cermin dan merosakkan karpet masjid dengan menyimbah cecair berbau busuk, sedangkan dia mengetahui perbuatan itu dianggap sebagai satu penghinaan terhadap agama Islam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan, Tumpat, kira-kira jam 4.35 pagi pada 5 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Manjesh Singh didakwa menceroboh masjid sama dengan niat melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang pada tarikh dan masa berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Zharifah Insyirah Zahari, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Noor Suhadah Mohamed Ripim.
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun pihak pembelaan memohon jumlah lebih rendah atas alasan tertuduh memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 November depan untuk prosiding menjatuhkan hukuman.
Dalam prosiding sama, Manjesh Singh turut mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya sendiri di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat kira-kira jam 1 pagi pada 17 Oktober lalu.
Bagi pertuduhan itu, mahkamah membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Januari depan untuk serahan laporan kimia.
Bagaimanapun, tertuduh tidak membayar kedua-dua ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie dilaporkan berkata, suspek ditahan di Kota Bharu selepas pemeriksaan mendapati pintu kaca masjid dipecahkan sebelum cecair berbau busuk dituang di ruang solat.
Berita berkaitan
October 22, 2026, 5:06 pm
Semua sekolah di Selangor beroperasi seperti biasa esok, murid digalak pakai pelitup muka
October 22, 2026, 4:54 pm
Kes hibah RM3.3 bilion, bekas CEO, CFO Tabung Haji mengaku tidak bersalah
October 22, 2026, 4:29 pm
Dua lelaki viral lolos polis di Wangsa Maju berdepan enam pertuduhan
October 22, 2026, 4:04 pm
DAPSY gesa kerajaan kaji semula larangan Waze, persoal bukti ancaman keselamatan
October 22, 2026, 3:29 pm
'TuJu memalukan negara, gagal tandingi Waze,' - Guan Eng dakwa Anwar diberi nasihat yang salah
October 22, 2026, 2:57 pm
Penjawat awam ingkar larangan guna Waze berdepan tindakan tatatertib
October 22, 2026, 1:42 pm
Dua anggota polis saman Shuhaily secara peribadi, tuntutan ganti rugi tunggu laporan perubatan
October 22, 2026, 1:17 pm
7.6 juta rekod pengguna Waze didakwa dijual di dark web
October 22, 2026, 12:32 pm
