Berita Berita
DAPSY gesa kerajaan kaji semula larangan Waze, persoal bukti ancaman keselamatan
KUALA LUMPUR 22 Okt – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa kerajaan mengkaji semula larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam susulan ketiadaan bukti kukuh yang menunjukkan aplikasi itu mengancam keselamatan negara.
Sayap pemuda DAP itu turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengambil pendekatan lebih pragmatik dan telus dalam menangani isu keselamatan siber, bukannya melaksanakan sekatan secara menyeluruh.
Menurut DAPSY, Waze sudah digunakan secara meluas oleh rakyat Malaysia sejak sekian lama, namun kerajaan masih belum mengemukakan bukti mencukupi bahawa aplikasi berkenaan menjejaskan keselamatan negara atau menyalahgunakan data pengguna.
"Walaupun DAPSY mengiktiraf kepentingan memperkukuh keselamatan siber, kami mempersoalkan rasional serta justifikasi pegawai yang mencadangkan larangan menyeluruh ini.
"Langkah terburu-buru seperti ini bukan sahaja tidak menenangkan orang ramai, malah berisiko menimbulkan lebih banyak persoalan serta menjejaskan kepercayaan awam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, DAPSY mencadangkan supaya langkah perlindungan keselamatan dilaksanakan secara bersasar, khususnya terhadap penjawat awam yang mengendalikan maklumat sulit atau menjalankan tugas sensitif.
Katanya, golongan berkenaan termasuk anggota tentera, pegawai perisikan dan pegawai kanan keselamatan yang mempunyai akses kepada maklumat berkaitan keselamatan negara.
Menurut DAPSY, pendekatan itu lebih wajar bagi menangani potensi risiko keselamatan tanpa perlu mengenakan larangan menyeluruh terhadap semua penjawat awam.
Dalam pada itu, DAPSY turut mempertikaikan cadangan kerajaan supaya penjawat awam beralih kepada aplikasi navigasi tempatan, TuJu, yang didakwa masih berdepan pelbagai kelemahan teknikal.
"Ramai pengguna yang mencuba aplikasi TuJu membangkitkan kelemahan teknikalnya, sekali gus membuktikan ia masih belum berupaya menjadi alternatif yang praktikal dan boleh diharap.
"Tindakan melarang aplikasi yang sudah stabil demi menggantikannya dengan alternatif yang mempunyai isu teknikal ketara hanya akan terus menghakis kepercayaan awam terhadap institusi kerajaan," katanya.
DAPSY turut mengingatkan kerajaan supaya mengambil serius maklum balas masyarakat dan menilai semula keputusan berkenaan sebelum kontroversi itu berlarutan.
"Belum terlambat untuk kerajaan menghalang isu ini daripada menjadi satu perkara yang memalukan," katanya.
Tegasnya, keselamatan negara dan perlindungan data sememangnya perlu diberikan keutamaan, namun setiap keputusan kerajaan yang memberi kesan kepada masyarakat mestilah berasaskan bukti serta dilaksanakan secara telus.
"Usaha memelihara keselamatan negara memerlukan bukti yang kukuh, ketelusan serta komitmen berterusan untuk membina kepercayaan awam," katanya.
Pada Rabu, kerajaan mengumumkan larangan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam susulan kebimbangan terhadap potensi penyalahgunaan maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna oleh rejim Israel.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd sebagai pengawal data yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
Kerajaan turut menggalakkan rakyat Malaysia mempertimbangkan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, sebagai alternatif.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebelum ini memaklumkan aplikasi TuJu sedang menjalani kerja penambahbaikan sistem yang menyebabkan gangguan sementara terhadap fungsi navigasi.
Bagaimanapun, fungsi lain termasuk paparan kamera litar tertutup (CCTV) masih boleh diakses pengguna.
Berita berkaitan
October 22, 2026, 5:06 pm
Semua sekolah di Selangor beroperasi seperti biasa esok, murid digalak pakai pelitup muka
October 22, 2026, 4:54 pm
Kes hibah RM3.3 bilion, bekas CEO, CFO Tabung Haji mengaku tidak bersalah
October 22, 2026, 4:29 pm
Dua lelaki viral lolos polis di Wangsa Maju berdepan enam pertuduhan
October 22, 2026, 3:43 pm
Manjesh Singh mengaku bersalah simbah cecair busuk, pecahkan cermin masjid di Tumpat
October 22, 2026, 3:29 pm
'TuJu memalukan negara, gagal tandingi Waze,' - Guan Eng dakwa Anwar diberi nasihat yang salah
October 22, 2026, 2:57 pm
Penjawat awam ingkar larangan guna Waze berdepan tindakan tatatertib
October 22, 2026, 1:42 pm
Dua anggota polis saman Shuhaily secara peribadi, tuntutan ganti rugi tunggu laporan perubatan
October 22, 2026, 1:17 pm
7.6 juta rekod pengguna Waze didakwa dijual di dark web
October 22, 2026, 12:32 pm
