TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua lelaki viral lolos polis di Wangsa Maju berdepan enam pertuduhan

By
|
Kongsi
image

 

AMPANG 22 Okt – Dua lelaki yang tular selepas melarikan diri daripada polis di Wangsa Maju dihadapkan ke mahkamah di sini pada Khamis atas beberapa pertuduhan, termasuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu.

Kedua-dua tertuduh, Muhammad Putra Zulfaiz Zaidi, 32, dan Mohamad Danial Haiqal Kamal Arifin, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Siti Nur Ain Ariffin, Majistret Tiong Wen Wen dan Hakim Norshila Kamarudin.

Di hadapan Siti Nur Ain, mereka didakwa menghalang tiga anggota polis, masing-masing Koperal Muhamad Azfar Abdul Rahman, Lans Koperal Muhammad Yashar Hassan dan Koperal Syisyi Pauzi, ketika menjalankan tugas.

Mereka didakwa melarikan diri menggunakan trak pikap Isuzu D-Max yang menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak pemeriksaan polis di Jalan Wangsa 1 dan Jalan Wangsa 5, Bukit Antarabangsa, masing-masing pada jam 5.30 pagi, 10 Oktober dan 11 pagi, 11 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Muhammad Putra Zulfaiz turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan memasukkan dadah ke dalam badannya.

Bagi pertuduhan menggunakan nombor pendaftaran palsu, dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Bagi pertuduhan dadah, dia didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang Jaya kira-kira jam 10.45 malam, 11 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama dengan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Di hadapan Majistret Tiong, kedua-dua tertuduh turut didakwa secara bersama sebagai pemandu Isuzu D-Max yang dipandu secara berbahaya kepada orang awam di lokasi dan masa berkaitan.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) APJ.

Mereka juga didakwa gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung pemilikan beberapa peralatan, termasuk dua tali sling, sebatang besi kunci, sebatang spana boleh laras, dua pemotong wayar, dua pasang sarung tangan, dua batang tukul besi, dua batang crowbar, tiga batang mata pahat dan sebatang besi.

Di Mahkamah Sesyen pula, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sebilah parang dan sebilah sabit tanpa tujuan yang sah pada jam 11 pagi, di lokasi dan tarikh sama.

Selain itu, Mohamad Danial Haiqal turut berdepan pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya di tempat, masa dan tarikh yang sama seperti pertuduhan terhadap Muhammad Putra Zulfaiz.

Muhammad Putra Zulfaiz diwakili peguam Daneish Thayalan, manakala Mohamad Danial Haiqal diwakili Erni Ahmad.

Mahkamah membenarkan Muhammad Putra Zulfaiz diikat jamin RM10,500, manakala Mohamad Danial Haiqal dibenarkan diikat jamin RM8,000.

Bagaimanapun, jaminan bagi prosiding di hadapan Hakim Norshila dan Majistret Tiong tidak dibenarkan kerana penjamin tidak hadir.

Mahkamah menetapkan 26 November ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, beberapa video memaparkan anggota polis dengan bantuan orang awam mengejar dua lelaki berkenaan selepas mereka dipercayai melarikan diri daripada polis dan melanggar kenderaan awam tular di media sosial.

Kejadian itu menarik perhatian orang ramai apabila trak pikap yang dinaiki mereka dipercayai cuba meloloskan diri daripada pihak polis sebelum berjaya ditahan.

+ - reset