TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penjawat awam ingkar larangan guna Waze berdepan tindakan tatatertib

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 22 Okt - Penjawat awam yang ingkar arahan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze boleh dikenakan tindakan tatatertib susulan keputusan kerajaan yang berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata, ketua jabatan masing-masing bertanggungjawab memastikan arahan itu dipatuhi seperti yang dimaklumkan menerusi surat edaran Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

“Arahan ini terpakai serta-merta, daripada segi pelaksanaan arahan ini, ada caranya, tetapi secara umumnya kita serahkan kepada ketua jabatan masing-masing.

“Tetapi apa pun, pelanggaran mana-mana arahan oleh KSN, ia membawa implikasi dari sudut tindakan disiplin,” katanya pada taklimat mengenai isu-isu semasa keselamatan negara pada Khamis.

Raja Nushirwan turut menggesa warga perkhidmatan awam menghentikan penggunaan aplikasi berkenaan bagi mengelakkan risiko maklumat pergerakan mereka dieksploitasi pihak luar.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kerajaan belum bercadang melaksanakan larangan menyeluruh terhadap penggunaan Waze dalam kalangan masyarakat, sebaliknya mengambil pendekatan berperingkat melalui pendidikan dan kesedaran mengenai keselamatan data.

“Bagi pihak kerajaan, kita kena sentiasa mengimbangi isu-isu keselamatan dengan isu-isu hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan juga kebebasan memilih.

“Dengan cara yang kita ambil ini, kita serahkan kepada rakyat Malaysia untuk memilih secara sendiri,” jelasnya.

Menurut beliau, keberkesanan langkah berkenaan akan dinilai dari semasa ke semasa sebelum kerajaan mempertimbangkan sebarang tindakan tambahan berdasarkan keperluan keselamatan negara.

Katanya, kerajaan juga perlu mengambil kira implikasi terhadap pembangunan aplikasi serta industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekiranya pengharaman menyeluruh dilaksanakan secara tergesa-gesa.

“Kita mengambil pendekatan berfasa, ini yang pertama dan kita akan menilai sejauh mana ia berkesan. Selepas itu, kita akan lihat sama ada tindakan lanjut diperlukan atau sebaliknya.

“Kalau kita terus mengambil langkah untuk ban Waze, signal yang diberikan dalam konteks pembangunan aplikasi-aplikasi lain dan alat-alat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pun mungkin terjejas,” tambahnya.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan menyahpasang aplikasi Waze secara sukarela dan mempertimbangkan penggunaan aplikasi navigasi alternatif tempatan seperti TuJu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan larangan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam sebagai langkah melindungi maklumat kerajaan serta data peribadi pengguna.

Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd sebagai pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.

+ - reset