Berita Berita
Empat beradik miliki 51 rekod berkaitan dadah ditahan lagi, tiga positif syabu dan morfin
KUALA LANGAT 23 Okt – Empat beradik berusia antara 32 hingga 49 tahun yang mempunyai keseluruhan 51 rekod kesalahan berkaitan dadah dan pemenjaraan ditahan sekali lagi selepas gagal mematuhi tarikh jaminan yang ditetapkan.
Kesemua mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap diberkas di kediaman masing-masing menerusi Operasi Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Selangor Siri 4/2026.
Pengarah AADK Negeri Selangor, Nazir Mohamad berkata, empat beradik terbabit pernah ditahan pada 4 Ogos lalu sebelum tindakan pengesanan dilakukan susulan kegagalan mereka hadir pada tarikh jaminan.
“Empat beradik ini sebelum ini pernah ditahan pada 4 Ogos lalu, namun kegagalan mematuhi tarikh jaminan menyebabkan tindakan pengesanan dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, semakan mendapati abang sulung berusia 49 tahun mempunyai 12 rekod pemenjaraan berkaitan dadah, manakala adiknya berusia 42 tahun merekodkan jumlah tertinggi iaitu 26 rekod.
Katanya, adik ketiga berusia 36 tahun pula mempunyai lima rekod pemenjaraan, sementara adik bongsu berusia 32 tahun memiliki lapan rekod kesalahan dadah dan pemenjaraan.
“Tiga beradik yang lebih tua didapati positif methamphetamine dan morfin, manakala adik bongsu positif methamphetamine.
“Mereka kemudian dibawa ke mahkamah dan dikenakan perintah di bawah Seksyen 6(2)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.
Dalam operasi sama, seorang warga emas berusia 65 tahun yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah turut ditahan ketika dipercayai dalam perjalanan ke lokasi penagihan syabu.
Nazir berkata, lelaki terbabit ditahan bersama anak angkatnya ketika menaiki motosikal menuju ke kawasan yang dipercayai menjadi tumpuan penagih mendapatkan bekalan dadah.
“Ujian saringan yang dijalankan selepas penahanannya turut mendapati dia positif methamphetamine atau syabu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Oktober itu dilaksanakan di enam daerah iaitu Petaling, Kuala Langat, Gombak, Sepang, Hulu Langat dan Klang.
Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan kekuatan 20 pegawai dan 100 anggota AADK Negeri Selangor.
“Seramai 171 individu ditahan dengan 133 daripadanya, terdiri daripada 130 lelaki dan tiga wanita, didapati positif ujian saringan dadah dan bahan,” jelasnya.
Beliau berkata, AADK Negeri Selangor akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan serta intervensi rawatan dan pemulihan bagi membendung penyalahgunaan dadah demi kesejahteraan masyarakat.
Berita berkaitan
October 22, 2026, 5:06 pm
Semua sekolah di Selangor beroperasi seperti biasa esok, murid digalak pakai pelitup muka
October 22, 2026, 4:54 pm
Kes hibah RM3.3 bilion, bekas CEO, CFO Tabung Haji mengaku tidak bersalah
October 22, 2026, 4:29 pm
Dua lelaki viral lolos polis di Wangsa Maju berdepan enam pertuduhan
October 22, 2026, 4:04 pm
DAPSY gesa kerajaan kaji semula larangan Waze, persoal bukti ancaman keselamatan
October 22, 2026, 3:43 pm
Manjesh Singh mengaku bersalah simbah cecair busuk, pecahkan cermin masjid di Tumpat
October 22, 2026, 3:29 pm
'TuJu memalukan negara, gagal tandingi Waze,' - Guan Eng dakwa Anwar diberi nasihat yang salah
October 22, 2026, 2:57 pm
Penjawat awam ingkar larangan guna Waze berdepan tindakan tatatertib
October 22, 2026, 1:42 pm
Dua anggota polis saman Shuhaily secara peribadi, tuntutan ganti rugi tunggu laporan perubatan
October 22, 2026, 1:17 pm
