TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Jangan sampai lagi 20 tahun Kelantan 'dijajah' Rohingya' - Abbe Hae gesa larangan sewa tanah kepada warga asing

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 23 Okt – Kerajaan Kelantan digesa menggubal undang-undang baharu atau menambah baik enakmen sedia ada bagi menghalang pemilik tanah persendirian menyewakan tanah mereka kepada warga asing termasuk etnik Rohingya.

Gesaan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap pertambahan komuniti Rohingya di beberapa kawasan di negeri berkenaan, termasuk kegiatan mengusahakan ladang sireh di Tanah Merah yang sebelum ini mendapat perhatian penduduk setempat.

Aktivis masyarakat, Mohd Azhan Mohd Adnan atau lebih dikenali sebagai Abbe Hae berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan sekiranya peruntukan undang-undang sedia ada mengehadkan kuasa kerajaan negeri untuk mengambil tindakan terhadap pemilik tanah.

Menurut pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan itu, kerajaan negeri perlu mempunyai mekanisme perundangan yang jelas bagi menangani isu penyewaan tanah persendirian kepada warga asing.

"Perlu ada undang-undang yang jelas iaitu melarang mana-mana tanah persendirian disewakan kepada warga asing termasuk Rohingya.

"Saya yakin kerajaan negeri mampu melakukan penambahbaikan undang-undang itu sekiranya serius dalam isu menangani kebanjiran warga asing," katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa kegagalan menangani perkara itu dari sekarang boleh menyebabkan lebih banyak tanah di negeri berkenaan dikuasai warga asing termasuk komuniti Rohingya dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Sebelum ini, media melaporkan kewujudan ladang sireh seluas lebih dua hektar yang diusahakan etnik Rohingya sejak beberapa tahun lalu di Kampung Padang Guchil, Tanah Merah.

Kegiatan berkenaan dilaporkan menimbulkan keresahan penduduk setempat susulan pertambahan kehadiran komuniti itu di kawasan berkenaan.

Ladang yang menggunakan junjung kayu tersusun itu difahamkan dibangunkan di atas tanah yang disewa daripada pemilik yang menetap di luar Kelantan, dengan kadar sewaan antara RM600 hingga RM1,000 sehektar.

Hasil tanaman berkenaan kemudiannya dijual kepada pemborong.

Penduduk turut mendakwa jumlah komuniti Rohingya di kampung itu meningkat daripada kira-kira 15 orang sejak 10 tahun lalu kepada hampir 100 orang ketika ini.

Selain menyewa tanah untuk kegiatan pertanian, komuniti terbabit turut dilaporkan menyewa rumah penduduk dengan kadar antara RM250 hingga RM300 sebulan.

+ - reset