TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Stor kuil tidak berdaftar di Klang jadi port sorok dadah RM16.2 juta, polis tumpas empat sindiket

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 23 Okt - Sebuah stor kuil tidak berdaftar di Klang Selatan dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan dadah oleh sindiket yang aktif sejak awal tahun ini.

Kegiatan itu terbongkar selepas polis menyerbu premis berkenaan dalam operasi baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, seorang lelaki yang bekerja sebagai pembantu separuh masa dalam pengurusan kuil berkenaan turut ditahan.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan kuil itu dijadikan samaran bagi menjalankan kegiatan penyimpanan dadah.

“Kami masih menjalankan siasatan namun tidak menolak (kuil itu dijadikan samaran tempat simpan dadah) kerana sehingga kini semakan mendapati kuil itu tidak berdaftar.

“Tanah tersebut bukan untuk kuil (tetapi) untuk pembentungan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Shazeli berkata, stor kuil itu merupakan antara lokasi yang diserbu dalam lima siri operasi berasingan di Klang, Rawang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Operasi berkenaan dijalankan antara 13 hingga 19 Oktober lalu.

Ia membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Selangor, JSJN Gombak, Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad serta JSJN IPD KLIA.

Hasil operasi itu, polis berjaya menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa.

“Dalam lima siri serbuan yang dilakukan, pihak polis berjaya menangkap lapan suspek terdiri daripada empat warga tempatan dan empat warga asing yang dipercayai terbabit dalam rangkaian sindiket dadah tempatan serta antarabangsa,” katanya.

Semua suspek berusia antara 19 hingga 48 tahun.

Mereka terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta tiga lelaki dan seorang wanita warga asing.

Polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM16.2 juta.

Rampasan membabitkan 81.3 kilogram bunga ganja, 37 kilogram ganja dan 40 kilogram ketamin dalam bentuk cecair dan katrij.

Turut dirampas ialah 36 kilogram ekstasi dalam bentuk cecair, 20.6 kilogram heroin serta 25.4 kilogram ketamin.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam operasi kali ini dianggarkan boleh menampung penggunaan sehingga 801,000 pengguna pada satu-satu masa, berdasarkan anggaran 0.3 gram bagi setiap pengguna,” katanya lagi.

Selain dadah, polis menyita dua kereta jenis Honda Accord dan Proton Saga serta sebuah motosikal Honda RS150.

Wang tunai 200 pound sterling dan RM135 turut disita, menjadikan keseluruhan nilai sitaan harta berjumlah RM54,835.

Shazeli berkata, semakan mendapati hanya seorang suspek warga tempatan mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau di Malaysia.

Kesemua empat suspek warga asing pula didapati memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.

Beliau berkata, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, kejayaan operasi itu membuktikan kegiatan pengedaran dadah berskala besar yang aktif dan terancang masih menjadi ancaman kepada masyarakat.

+ - reset