TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jangan jadi ‘tauke belakang tabir’ warga asing, Imigresen beri amaran rakyat sewakan lesen berdepan tindakan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 23 Okt – Rakyat tempatan yang menyalahgunakan lesen perniagaan bagi membolehkan warga asing menjalankan aktiviti perniagaan secara tidak sah turut berdepan tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan itu bukan hanya menyasarkan warga asing yang mengendalikan perniagaan, malah turut membabitkan dalang, pemilik lesen dan pihak yang bersubahat.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius kegiatan penyalahgunaan lesen perniagaan oleh warga tempatan yang dijadikan sebagai topeng untuk membolehkan warga asing berniaga secara haram.

Beliau menegaskan, pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Pas Lawatan Sosial (PLS) tidak dibenarkan menjalankan atau mengendalikan perniagaan di Malaysia.

Katanya, warga asing yang didapati berniaga atau menguruskan premis tanpa kebenaran sah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas.

“KDN juga akan memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Polis Diraja Malaysia serta agensi berkaitan bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap sindiket atau individu yang menyalahgunakan lesen perniagaan sebagai topeng kepada kegiatan melanggar undang-undang.

“Pendekatan ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan penguatkuasaan bukan sahaja menyasarkan pelaku di hadapan, tetapi turut mengambil tindakan terhadap dalang, pemilik perniagaan dan pihak yang bersubahat,” katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, JIM mengambil pendekatan menyeluruh dalam menangani pelanggaran undang-undang imigresen oleh warga asing, termasuk melalui operasi penguatkuasaan dan langkah pencegahan.

“Pendekatan ini bukan hanya tertumpu kepada operasi penguatkuasaan, malah turut membabitkan usaha pencegahan melalui pemeriksaan berkala dan penyampaian maklumat mengenai tanggungjawab serta implikasi undang-undang kepada warga asing dan majikan.

“JIM sentiasa mengingatkan bahawa warga asing yang menyalahgunakan kemudahan imigresen atau melanggar syarat pas diberikan akan berdepan tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap warga asing yang berada di Malaysia bertanggungjawab mematuhi undang-undang negara.

Sumber: Harian Metro

+ - reset